SHAH ALAM - Pemilik premis perniagaan termasuk kedai serbaneka 24 jam perlu lebih bertanggungjawab dan mengawal penjualan minuman beralkohol kepada awam dalam usaha mengurangkan kadar pemandu mabuk di negara ini.
Timbalan Pengarah I (Penguatkuasaan, Kawalan Lalu Lintas dan Pengurusan Saman) Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Mohd Nadzri Hussain berkata, masyarakat perlu membantu memberikan maklumat dalam usaha mengekang perkara itu dari terus berleluasa.
Katanya, individu dalam pengaruh alkohol tidak perlu mengambil risiko dengan memandu kenderaan atau menunggang motosikal bagi mengelakkan kemalangan.
"Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) memaklumkan 40 miligram sudah berisiko menyebabkan kemalangan, maka sepatutnya jika individu dalam pengaruh alkohol tidak boleh memandu," katanya pada program Sinar Live bersama Sinar Harian di sini hari ini.
Program diadakan secara langsung menerusi Facebook Sinar Harian yang dikendalikan oleh moderator Sinar Harian, Haslina Kamaludin.
Mohd Nadzri menambah, PDRM memerlukan sokongan semua pihak agar dapat menjalankan penguatkuasaan dengan holistik sehingga ke akar umbi dan masyarakat juga perlu 'menjaga tepi kain orang'.
"Apa yang kita perlu ialah kerjasama kerana penguatkuasaan akan berjaya jika semua pihak menangani hal ini. Salurkan kepada pihak PDRM jika ada yang mengadakan pesta arak atau minum tanpa kawalan," katanya lagi.
Nadzri juga berharap hukuman berat dikenakan supaya masyarakat akan lebih sedar.