SHAH ALAM - Majlis Belia Malaysia (MBM) menganggap Pelan Jana Semula Ekonomi negara (Penjana) mengurangkan keresahan dan kebimbangan belia khususnya yang berisiko hilang pekerjaan, graduan baharu dan usahawan muda yang menceburi industri kecil dan sederhana (IKS).
Presidennya, Jufitri Joha berkata, inisiatif baharuu dijangka dapat menangani kadar pengangguran 6.9 peratus belia berusia 15 hingga 30 tahun.
"Permintaan MBM sebelum ini di bawah Jawatankuasa Tindakan Ekonomi MBM (Jaktem) sebahagiannya dipenuhi seperti menangani pengangguran, menangani pembuangan pekerjaan, skim perantis, upskilling bagi yang dibuang pekerjaan, skim latihan dan sekuriti sosial untuk ekonomi lejang (gig economy)," katanya.
Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan bagi mengulas tentang pengumuman Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengenai Penjana di sini hari ini.
Jufitri berkata, MBM mencadangkan kerajaan memperkasakan sistem penyampaian inisiatif supaya lebih efisien.
Beliau turut memberi contoh setiap permohonan diberikan notifikasi penerimaan dan status permohonan dan menyelesaikan inisiatif terdahulu dengan segera.
Selain itu katanya, kerajaan perlu mewujudkan portal sehenti dalam talian (online) yang lebih informal dan interaktif untuk inisitaif berkaitan belia yang diumumkan melalui Penjana mahupun yang sedia ada supaya mudah diakses, dimohon dan mendapat maklumat dalam satu portal sahaja.
"MBM menggesa kerajaan terus menangani jurang digital dalam jangka masa panjang dengan meningkatkan kemudahan dan prasarana jalur lebar khususnya kepada belia dan rakyat di
luar bandar, Sabah dan Sarawak supaya boleh memanfaatkan peluang perniagaan dalam talian termasuk inisiatif Global Online Workforce yang diumumkan dalam Penjana.
"Melibatkan MBM dan wakil belia dalam Jawatankuasa Khas Pekerjaan Nasional seperti yang diumumkan bagi membantu memantau dan memberikan idea bagi memastikan kejayaan pelaksanaan inisiatif-inisiatif ini," katanya.
Ujar beliau, kerajaan juga boleh menambahkan lagi peluang pekerjaan untuk warga tempatan dengan agenda job localization bagi memberikan keutamaan pekerjaan yang lingkungan gajinya RM3000 hingga RM10,000 yang sepatutnya diisi oleh warga tempatan tetapi diisi oleh warga asing atau expatriate.
"Kerajaan terus konsisten menjayakan agenda sekuriti makanan dalam kalangan generasi muda dengan menggalakkan pertanian pintar bagi menjadikan Malaysia sebagai pengeluar makanan," jelasnya.