PKR tak tanding di PRK DUN Chini

Iklan
Saifuddin Nasution

SHAH ALAM - Parti Keadilan Rakyat (PKR) memutuskan untuk tidak meletakkan calon bagi Pilihanraya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Chini.

Perkara itu disahkan oleh Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dalam satu kenyataan hari ini.

Iklan
Iklan

Beliau berkata, keputusan bersama Majlis Presiden Pakatan Harapan itu mengambil kira penularan wabak koronavirus (Covid-19) yang belum dapat ditangani sepenuhnya di negara ini.

"Aspek keselamatan dan kesihatan para pengundi pada ketika ini masih menjadi satu kerisauan.

Iklan

"PKR berpandangan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang bakal dikeluarkan akan mendatangkan kesan kepada cara berkempen dan gerak kerja di lapangan.

"Contohnya, larangan lebih dari 20 orang berhimpun untuk ceramah umum perlu diteliti, dan kita juga belum diberitahu prosedur untuk kempen rumah ke rumah, pondok panas serta perkara-perkara lain yang amat penting dan menjadi kelaziman dalam konteks persiapan gerak kerja pilihanraya," katanya.

Iklan

PRK Chini diadakan ekoran kematian penyandangnya Datuk Seri Abu Bakar Harun, 60, akibat serangan jantung di Hospital Kuala Lumpur pada 6 Mei lalu.

Pada PRU14, Abu Bakar yang memperoleh 10,027 undi menang dengan majoriti 4,622 undi menewaskan calon Pas, Mohd Fadhil Noor Abdul Karim yang memperoleh 5,405 undi dan calon PKR Mohamad Razali Ithnain yang mendapat 1,065 undi.