KUALA LUMPUR - Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menyifatkan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana) sebagai pelan menyeluruh kerana mengambil kira keluhan, keperluan dan kebajikan pelbagai lapisan masyarakat, industri serta perniagaan.
Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin berkata, Al-Sultan Abdullah juga menzahirkan sokongan dan penghargaan terhadap langkah kerajaan dalam menangani impak Covid-19 kepada rakyat dan ekonomi negara melalui pelan bernilai RM35 bilion itu.
Beliau berkata, Seri Paduka Baginda bertitah melalui pelan itu, kerajaan perlu segera dan berkesan dalam menangani impak wabak Covid-19 kepada ekonomi negara khususnya kemudaratan terhadap kedudukan kewangan, ekonomi dan kesejahteraan rakyat.
"Al-Sultan Abdullah amat prihatin terhadap kelangsungan hidup perniagaan dan rakyat khususnya perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan nasib pekerja di negara ini yang terkesan akibat impak wabak ini kepada ekonomi negara.
"Seri Paduka Baginda menzahirkan keyakinan bahawa pendekatan secara inklusif ini akan menjadi pemangkin kepada pemulihan dan pertumbuhan ekonomi jangka pendek negara serta dapat mempertingkatkan keyakinan dan sentimen rakyat, perniagaan dan pelabur asing,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Ahmad Fadil berkata, Seri Paduka Baginda juga menitahkan agar pelaksanaan pelan itu dilakukan dengan teliti dan dipantau secara menyeluruh supaya semua kumpulan sasaran menerima manfaat serta objektif untuk membantu rakyat selain merancakkan ekonomi tercapai.
"Al-Sultan Abdullah turut menitahkan rakyat supaya meneliti dan mengambil tahu selain bertindak dengan bijak untuk memanfaatkan inisiatif-inisiatif yang diumumkan dalam pelan itu oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam.
"Rakyat turut disarankan agar tidak memilih pekerjaan dan merebut peluang yang ada walaupun dalam bidang yang dilakukan oleh pekerja asing. Dengan ini, negara boleh mengurangkan kebergantungan kepada pekerja asing,” titah baginda.
Pada masa sama, Al-Sultan Abdullah menzahirkan setinggi penghargaan kepada kerajaan dan semua agensi berkaitan, khususnya petugas barisan hadapan di atas pengorbanan dan komitmen yang dicurahkan dalam merawat pesakit serta memastikan rantaian jangkitan Covid-19 dapat diputuskan.
"Seri Paduka Baginda turut menyeru rakyat agar terus bersabar serta berdisiplin dengan tatacara serta amalan kebiasaan baharu dan mematuhi semua perintah dikeluarkan kerajaan.
"Disiplin rakyat ialah kunci utama yang akan menentukan kemenangan negara memutuskan rantaian penularan wabak Covid-19 ini, katanya.
Beliau berkata, Yang di-Pertuan Agong juga menitahkan agar semua acara sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi Baginda yang dirancang bulan ini ditangguhkan berikutan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) sedang dilaksanakan bagi mengekang penularan Covid-19.
Katanya, Al-Sultan Abdullah seterusnya mengajak rakyat untuk bersama-sama berdoa agar Malaysia terus dilindungi dan dirahmati agar wabak itu dapat diakhiri dengan segera.- Bernama