BINTANG Barcelona, Lionel Messi dilaporkan bakal memulakan perbincangan untuk menyambung kontraknya bersama kelab Catalan itu.
Kontrak Messi bersama Barcelona akan berakhir musim depan dan dia boleh meninggalkan pasukan secara percuma musim panas ini jika mahu berhijrah ke pasukan lain.
Memetik laporan portal berita antarabangsa, Presiden Barcelona, Josep Maria Batomeu mendesak agar perbincangan mengenai kontrak Messi dilakukan segera untuk menyambung kontrak pemain itu di Camp Nou.
"Perbincangan mengenai kontrak tersebut mungkin berlangsung pada minggu depan dengan Messi akan diwakili ejen Jorge Mendes.
"Dalam kontrak Messi menyatakan tarikh akhir iaitu pada 30 Mei lalu untuk dia memberitahu sekiranya mahu meninggalkan kelab. Tetapi, dia tidak berbuat demikian dan kemungkinan besar dia mahu terus kekal di Barcelona.
"Namun, Messi mahu klausa sama turut diletakkan dalam kontrak barunya yang menyatakan dia boleh meninggalkan pasukan pada penghujung musim," kata laporan itu.
Pemain berusia 32 tahun itu menandatangani kontrak terakhir pada 2017 dan berita dia mahu meninggalkan Barcelona mula bertiup kencang selepas hubungannya dilaporkan tidak baik dengan pengurusan kelab.
Messi juga sering menyatakan mahu menamatkan kariernya di Barcelona yang menjadi pasukan profesional pertama buatnya sejak 2005.
Pemain kelahiran Argentina itu diangkat sebagai pemain terhebat Barcelona dengan memenangi 34 kejuaraan termasuk 10 trofi La Liga dan empat Liga Juara-Juara.