PM akan umumkan sesuatu esok: Ismail Sabri

Iklan
Ismail Sabri pada sidang media harian mengenai Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di Perdana Putra hari ini.- Foto Bernama

PUTRAJAYA - Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin bakal mengumumkan sesuatu esok dan akan menyentuh banyak perkara, kata Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

"Jadi kita tunggulah," katanya pada sidang akhbar harian mengenai perkembangan terkini Pergerakan Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di sini hari ini selepas ditanya mengenai kebenaran untuk golongan bujang yang ingin pulang bertemu ibu bapa.

Iklan
Iklan

Selain itu, Ismail Sabri berkata, secara dasarnya kerajaan bersetuju dengan prosedur operasi standard (SOP) Perluasan Kapasiti Jemaah bagi Solat Jumaat dan Solat Berjemaah yang dibentangkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri.

Beliau berkata, antara SOP yang dicadangkan oleh Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) dalam Mesyuarat Khas Menteri-Menteri hari ini adalah berdasarkan keluasan masjid untuk penjarakan sosial.

Iklan

"Asalkan ada penjarakan sosial di dalam masjid tersebut maka tidak ada halangan untuk kita membuka pada orang ramai untuk sembahyang jemaah. Kalau masjid itu besar, sebagai contoh Masjid Putrajaya kalau satu meter penjarakkan mungkin boleh (muat) sampai 200 ke 300 jemaah," katanya.

Ismail Sabri berkata, SOP itu dijangka diumumkan dalam masa terdekat selepas mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong.

Iklan

Sementara itu katanya, seramai 2,189 pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Indonesia yang kini ditahan di Depoh Tahanan Imigresen (DTI) di Semenanjung dan Sarawak serta 672 PATI di DTI Sabah akan dihantar pulang mulai hari ini bagi fasa pertama.

"Kumpulan pertama membabitkan 450 PATI dihantar pulang dengan tiga penerbangan ke Jakarta, Medan dan Surabaya pada hari ini dan akan diikuti 445 lagi ke Jakarta, Medan dan Surabaya pada 10 Jun ini. Proses menggunakan jalan laut dengan 1,294 PATI dijadual berlepas ke Medan pada 22 Jun ini.

"Bagi fasa kedua pula, seramai 2,623 PATI akan dihantar pulang dalam masa dua bulan lagi," katanya.

Ismail Sabri berkata, beberapa negara juga telah bersetuju membawa pulang warganegara mereka termasuklah China yang menyatakan persetujuan menerima 500 rakyatnya yang kini berada di DTI di negara ini.

Beliau berkata, semua PATI di tiga DTI telah disaring koronavirus (Covid-19) dan mereka yang positif telah dihantar ke Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah di MAEPS, Serdang untuk rawatan.

"Sehingga semalam, 675 PATI sedang menerima rawatan manakala seramai 120 PATI telah dibenarkan discaj," katanya.

Ismail Sabri berkata, dari 1 Mei sehingga semalam, seramai 393 PATI dan 72 tekong telah ditahan kerana cuba memasuki sempadan negara secara haram terutama di lorong-lorong tikus menerusi Operasi Benteng yang telah dilaksanakan bagi mengekang jenayah rentas sempadan.

Katanya, turut ditahan 11 individu disyaki penyeludup serta 12 buah kapal.

"Agensi penguatkuasaan juga berjaya mengusir 132 PATI, lima tekong serta 17 kapal yang mencuba membolosi kawasan sempadan negara selain berjaya menahan 1,517 warganegara asing yang telah menceroboh sempadan negara,” katanya.

Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata, kebenaran pembukaan lebih banyak sektor ekonomi untuk beroperasi akan dibincangkan pada Selasa ini, antaranya aktiviti memancing ikan di kolam dan bot membawa pelancong memancing di laut. - Bernama