JOHOR BAHRU - Sepasang suami isteri warga emas di Taman Johor Jaya di sini, bimbang keselamatan mereka terancam akibat diugut akan disimbah asid dipercayai oleh ‘scammer’ atau penipu yang menyamar sebagai ah long.
Anak suami isteri berumur 70 tahun itu, yang hanya mahu dikenali sebagai Lim, 45, berkata, lebih buruk, rumah kedua ibu bapanya turut disimbah cat merah manakala tiang rumah dibakar pada kejadian 27 dan 30 Mei lepas, namun mujur tiada sebarang kecederaan berlaku.
Menurut Lim, tindakan penipu itu dipercayai berpunca daripada anak saudara lelakinya yang berumur 20 tahun yang cuba membuat pinjaman wang berjumlah S$3,500 (dolar Singapura) daripada lapan institusi kewangan berpangkalan di Singapura pada 22 April lepas.
Ibu tunggal itu berkata, anak saudara lelakinya itu mendapat maklumat mengenai pinjaman wang terbabit menerusi beberapa iklan di laman Facebook.
Katanya, kesemua institusi berkenaan menggunakan taktik yang sama iaitu mengenakan ‘pembayaran percubaan’ kepada peminjam dan jumlah pinjaman akan dinaikkan sekiranya peminjam lewat membuat bayaran balik.
"Anak saudara menerima wang sebanyak S$350 sebagai ‘pembayaran percubaan’ dan disebabkan lewat dua jam untuk membayar balik, jumlah tersebut dinaikkan sehingga S$800.
"Sehingga kini, anak saudara saya keseluruhannya telah membuat bayaran sebanyak S$6,790 kepada lapan institusi itu tetapi tiada pinjaman wang diberikan,” katanya kepada pemberita pada sidang media yang diatur Timbalan Ketua Biro Aduan Awam MCA Pasir Gudang, Ang Tun Chek, di Pejabat MCA Bahagian Pasir Gudang di sini hari ini.
Lim berkata, anak saudaranya yang bekerja sebagai operator di sebuah syarikat di Singapura kini menjalani tempoh kuarantin selepas pulang ke bandar raya ini pada 28 Mei lepas.
Menurutnya, laporan polis telah dibuat di Balai Polis Johor Jaya pada 31 Mei lepas dan mengharapkan tindakan segera dapat dilakukan kerana gusar keselamatan ibu dan ayahnya itu.
Sementara itu, Tun Chek berkata, kes berkenaan merupakan kes ketiga seumpamanya yang diterima pihaknya sejak 31 Mei lepas.
"Ketiga-tiga kes ini lebih kurang sama di mana rumah disimbah cat dan diugut untuk dibakar. Saya harap masyarakat tidak mudah terpedaya dengan tawaran pinjaman seperti ini dan sentiasa menjaga keselamatan diri dan keluarga.
"Pihak polis memberitahu bahawa mereka akan membuat lebih banyak rondaan jadi dengan itu saya harap kes ini dapat ditangani dan disiasat segera,” katanya. - Bernama