SHAH ALAM - UMNO tetap bersedia sekiranya ada pertandingan atau tidak dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Chini.
Ketua Penerangannya, Shahril Hamdan berkata, UMNO akan terus bersiap siaga dan melakukan persediaan awal yang diperlukan kerana dalam politik apa juga kemungkinan boleh berlaku.
"Dalam kata mudah, PRK Chini ini bagi kita.. datang tidak berjemput, pergi tidak dihalang... kita akan sentiasa terus bersedia.
"Saranan untuk semua pihak agar memberi laluan kepada calon BN (Barisan Nasional) untuk menang tanpa bertanding bukanlah sama sekali bermakna kita cuba menafikan sistem demokrasi di negara ini tetapi berdasarkan beberapa faktor terkini yang seharusnya semua pihak sepatutnya memberi fokus kepada yang lebih utama seperti penularan wabak pandemik koronavirus (Covid-19) dan pemulihan semula ekonomi negara," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Terdahulu, Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan tarikh hari penamaan calon PRK DUN Chini pada 20 Jun dan pengundian awal akan diadakan pada 30 Jun, manakala hari mengundi pada 4 Julai.
PRK DUN Chini diadakan berikutan kematian penyandangnya, Datuk Seri Abu Bakar Harun, 60, di Hospital Kuala Lumpur akibat serangan jantung.
Pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), Abu Bakar mempertahankan kerusi DUN Chini dengan majoriti 4,622 undi menewaskan calon Pas, Mohd Fadhil Noor yang memperoleh 5,405 undi manakala calon Parti Keadilan Rakyat (PKR), Mohamad Razali Ithnain mendapat 1,065 undi.
Abu Bakar yang ketika itu memperoleh 10,027 undi merupakan penyandang kerusi DUN tersebut sejak PRU11 pada 2004.
DUN Chini, satu daripada empat DUN di bawah Parlimen Pekan akan menyaksikan PRK pertama selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) mula dilaksanakan pada 18 Mac lalu.
Mengulas lanjut, Shahril berkata, beliau menyambut baik saranan Menteri Besar Pahang, Datuk Sri Wan Rosdy Wan Ismail agar semua pihak baik parti politik mahu pun calon Bebas agar memberi laluan kepada penyandang iaitu calon BN/UMNO untuk menang tanpa bertanding pada PRK DUN Chini.
Namun katanya, sama ada saranan itu dapat direalisasikan atau tidak hanya diketahui pada tarikh penamaan calon yang akan diadakan pada 20 Jun ini.
"Pada tarikh tersebut kita akan mendapat tahu sama ada calon BN yang akan mempertahankan kawasan dimenangi pada PRU14 yang lalu bakal dicabar atau sebaliknya," katanya.
Pada masa sama kata beliau, UMNO menyambut baik keputusan PKR hari ini yang mewakili Pakatan Harapan tidak akan meletakkan calon mereka untuk bertanding pada PRK DUN Chini.
ARTIKEL BERKAITAN: PKR tak tanding di PRK DUN Chini