Pejuang sastera rakyat, Datuk Aripin Said, masih ingat kisah zaman remajanya bersama Tok Ki Yasin, seorang peniup seruling yang cacat penglihatan dari Kampung Karai di Bera, Pahang.
Aripin tinggal di Kampung Batu Bor yang terletak bersebelahan Kampung Karai. Menurut Aripin, apabila berkelapangan beliau akan bertemu Tok Ki Yasin atau nama sebenarnya, Yasin Husin untuk mendengar irama seruling.
"Saya akan menyanyikan lagu-lagu rakyat kesukaan dan pernah satu hari Tok Ki Yasin menangis mendengar saya menyanyi.
"Katanya, suara kau boleh pergi jauh. Saya tidak faham maksud kata-katanya. Namun pada tahun 1978, suara saya benar-benar pergi jauh apabila berpeluang menyanyikan lagu-lagu rakyat di pentas berprestij Royal Albert Hall di London pada usia 30 tahun,” kenang Aripin.
Pengalaman berharga itu dilakar Aripin semasa beliau menyertai program perhimpunan pengakap dan kebudayaan sedunia di London.
"Siapa sangka lagu rakyat, Anak Ayam Turun Sepuluh dan Burung Kenek-Kenek pernah dinyanyikan di sebuah pentas tersohor di London oleh anak Kampung Batu Bor. Mungkin itulah maksud firasat Tok Ki Yasin, suara saya sampai ke London,” katanya.
Aripin yang mesra disapa dengan panggilan cikgu sarat dengan pengalaman dan cerita yang memberi inspirasi terutama berkaitan sejarah, seni dan kebudayaan negeri Pahang.
Menyambung kisah Tok Ki Yasin, Aripin yang dinobatkan sebagai Warisan Kebangsaan (Orang Hidup) Tokoh Lagu-lagu Rakyat berkata, Tok Ki Yasin adalah idolanya dalam memperjuangkan lagu-lagu rakyat selain beberapa penglipur lara lain di Temerloh.
"Selain meniup seruling, Tok Ki Yasin juga boleh menyelam lama dalam air. Kerana kelebihan itu, dia sering diminta menyelam untuk mencari barang penduduk yang hilang di sungai,” ceritanya lagi.
Jelasnya, setiap kali menyelam mencari barang di sungai, Tok Ki Yasin selalu berpesan supaya menunggu sehingga dia timbul bersama barang yang dicari.
"Bila barang yang hilang dijumpai, dia akan serahkan kepada saya. Dia menyelam cukup lama, saya sendiri pelik ilmu apa yang digunakannya,” cerita beliau.
Mat Kilau
Selain Tok Ki Yasin, Aripin juga banyak belajar melalui pesanan Mat Kilau. Katanya, keperibadian Mat Kilau cukup menimbulkan minatnya untuk menelusuri sejarah perjuangan pahlawan Melayu Pahang itu dan menterjemahkannya dalam bentuk buku, puisi dan lagu-lagu rakyat.
"Mat Kilau pernah berpesan supaya taatkan Tuhan dan mengingatkan bahawa raja adalah payung kita. Dia juga ingatkan supaya sayangkan bangsa, sayangkan negeri dan bila diteliti, segala pesanannya itu mirip prinsip lima Rukun Negara.
"Cuma rukun yang kelima iaitu Kesopanan dan Kesusilaan, disampaikan Mat Kilau melalui kisah pemburu kijang,” katanya.
Aripin berkata, beliau berjumpa Mat Kilau di Batu 4, Kuantan pada penghujung tahun 1969.
"Saya sentiasa mencari peluang untuk bertemunya namun boleh dikatakan pada setiap waktu ada sahaja orang bertandang ke rumahnya.
"Kebetulan pada satu tengah hari, di rumahnya tidak ada orang datang seperti kebiasaan dan akhirnya saya dapat bertemu beliau. Dia menerima saya dengan baik kerana kebetulan dia kenal rapat dengan moyang saya, Tok Jebek yang pernah menjadi gurunya,” imbau Aripin.
Menurut Aripin, beliau masih ingat ketika bertemu, lirik mata Mat Kilau tidak memandang ke arahnya.
"Pandangannya menerobos jauh. Cuma bila sesekali kami berpandangan, saya dapat melihat matanya dan merasakan ketenangan luar biasa dalam dirinya,” kata beliau.
Aripin berkata, Tok Ki Yasin dan Mat Kilau hanya sebahagian daripada tokoh penting dalam perjalanan hidupnya.
"Sebenarnya, ramai lagi guru saya terutama dalam kalangan penglipur lara yang ada ketika itu. Kalau hendak ceritakan kisah mereka semua memang tidak habis.
"Sememangnya orang hebat ini jugalah yang mendorong saya terjun ke dunia seni dan warisan ini,” kata beliau.
Warisan
Menurutnya, penglipur lara merupakan institusi pendidikan tidak formal dalam masyarakat dulu-dulu. Berkongsi sejarah pembabitannya dalam bidang nyanyian lagu rakyat, Aripin memberitahu, ia bermula sekitar 50 tahun lalu.
"Pada mulanya, pentas persembahan saya cuma di sekitar Pahang sebelum berkembang ke peringkat nasional dan antarabangsa.
"Lagu pertama yang saya nyanyikan ketika persembahan ialah lagu Indung-indung dalam bahasa Minang,” katanya.
Malangnya, ujar beliau, lagu-lagu rakyat kini semakin dilupakan di negara ini, berbeza dengan masyarakat antarabangsa yang meminati lagu rakyat sehingga beliau sering menerima undangan membuat persembahan di negara-negara Eropah.
Selain pengalaman yang berkait rapat dengan perjalanan hidupnya, Aripin juga menyimpan banyak kisah mistik pada zaman kanak-kanaknya seperti cerita Pawang Kadir, seorang pawang buaya dari Kampung Karai.
Mengikut ceritanya, Pawang Kadir pernah menangkap seekor buaya yang mengganggu penduduk dan memberi amaran kepada reptilia itu agar tidak membaham anak cucunya (penduduk) yang menggunakan Sungai Pahang di kampung tersebut.
"Kerana amaran Pawang Kadir, buaya sungai itu tidak lagi mengganas dan penduduk dapat menyeberang sungai dengan selamat,” katanya.
Baginya, setiap cerita orang dulu-dulu, biarpun agak di luar logik pemikiran hari ini, ada banyak yang tersirat di sebaliknya khususnya mengenai hubungan manusia dan alam.
Aripin yang kini menetap di Kuala Lumpur berkata, sastera rakyat sudah sebati dengan jiwanya.
Beliau telah menghasilkan ratusan buku sebagai usaha mendokumentasi kisah-kisah rakyat.
PROFIL:
Datuk Aripin Said
Kerjaya:
Bekas guru sekolah
Bekas pensyarah universiti
Penulis, penyelidik sastera, penyair, penyanyi lagu-lagu rakyat
Umur: 72 tahun (1948)
Asal: Kampung Batu Bor, Bera, Pahang
Pendidikan:
Maktab Perguruan Kuantan
Universiti Pertanian Malaysia (kini Universiti Putra Malaysia)