Normal baharu kehidupan yang bakal dan sedang kita alami sekarang akan menjadi sebuah cabaran buat mereka yang tidak dapat menerima perubahan. Ini adalah suatu transisi kehidupan yang tidak boleh dielakkan oleh sesiapa pun. Impak wabak pandemik bukanlah perkara enteng dan mudah, sudah tentu kita semua tidak mahu ia berterusan.
Penting bagi anak-anak muda memahami bahawa mereka ini merupakan pejuang utama masa depan Malaysia selain barisan hadapan yang bertungkus lumus menghadapi penularan wabak.
Biarpun anak-anak muda dikatakan tidak mudah dijangkiti, namun kesedaran untuk mereka memahami golongan lain lebih mudah terjangkit adalah sangat perlu. Ini kerana, perkara utama yang dipelajari ialah menghindari golongan yang mudah terjangkit.
Jika kita terpaksa berhubungan dengan golongan yang mudah dijangkiti, kesedaran itu sangat perlu apabila mereka terpaksa mengendalikan situasi baharu. Larangan kerajaan seperti tidak pulang ke kampung atau merentas negeri semasa musim perayaan memerlukan satu kesedaran yang tinggi.
Selain daripada kesedaran, masyarakat juga perlu beradaptasi dengan normal baharu ekonomi. Masyarakat menjadi lebih kreatif dan inovatif semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan ini adalah sesuatu yang positif.
Pemulihan ekonomi selepas wabak pandemik Covid-19 mungkin akan mengambil masa bertahun-tahun lamanya. Ketika ini juga amat penting untuk setiap keluarga menabung serta menambah pendapatan dan berhati-hati dalam perbelanjaan.
Bantuan kewangan melalui rangsangan ekonomi yang diberikan oleh kerajaan mungkin boleh dijadikan modal untuk berniaga. Jika kita memiliki kemahiran membuat kraftangan, mungkin kita boleh menggunakan platform digital untuk dipasarkan secara online.
Bagi sektor pendidikan, pengajaran dan pembelajaran (PdP) secara online bukan perkara baharu, namun tidak semua pelajar mengalami pembelajaran dan pengajaran lebih daripada 90 peratus secara online. Oleh itu, pelajar di institut pengajian tinggi khususnya perlu pantas mempelajari dan harus cekap mengunakan platform pendidikan digital secara maksimum.
Perkara itu tidak mudah dijadikan isu untuk para pengajar kita, namun perhatian kerajaan dari sudut kemudahan capaian internet perlu dilihat. Jika tidak, keupayaan untuk normal baharu PdP boleh mewujudkan keterbatasan. Bagaimanapun, pengajar mungkin boleh menyediakan alternatif yang terbaik agar keadaan itu dapat disesuaikan dengan proses PdP.
Biarpun laporan kes Covid-19 menunjukkan kemajuan positif, namun kes baharu import yang diumumkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) turut menggusarkan kita. Mungkin inilah masanya untuk kerajaan menghentikan pengambilan pekerja asing dalam sektor-sektor tertentu dan memberikan peluang seluas-luasnya kepada rakyat Malaysia untuk bekerja.
Majikan dan kerajaan perlu mempertimbangkan segera serta mempermudahkan pengambilan pekerjaan terutamanya bagi bidang pekerjaan separa mahir atau tidak memerlukan kelayakan khusus.
Dari segi alam sekitar, ia jelas menunjukkan kejernihan di sebalik PKP ini. Beberapa negara di seluruh dunia melaporkan kebersihanan laut dan sungai mulai meningkat dan hidupan di dalamnya mulai kelihatan secara mata kasar. Ini juga adalah pengajaran buat generasi kita agar dapat melihat secara jelas tentang setiap tindak tanduk kita sendiri dalam soal menjaga alam sekitar.
Adakalanya tindakan segelintir golongan manusia sanggup mengakibatkan kemusnahan alam sekitar secara berleluasa sehinggalah wujudnya PKP.
Terdapat penduduk berhampiran Sungai Klang di Kuala Lumpur mendakwa kualiti air sungai kini dilihat bersih dan jernih. Laporan lain turut disahkan oleh Pusat Alam Sekitar Global (GEC) yang menyatakan peningkatan kualiti air sungai dapat dilihat terutamanya di Sungai Gombak, Sungai Way dan Sungai Kemunsing sepanjang tempoh PKP dilaksanakan.
Kesimpulannya, terserah kepada masyarakat terutamanya anak-anak muda untuk menerima sesuatu yang baharu secara positif, menjadikan setiap kekangan sebagai satu penerimaan demi kesejahteraan sejagat. Apa yang pasti ia bukan mudah, namun keselamatan nyawa, harta dan masa depan semua adalah untuk generasi akan datang.
* Datuk Seri Dr Irmohizam Ibrahim ialah Pengarah Eksekutif World Trade Centre Kuala Lumpur