Petanda positif Liga-M bakal menjelma

Iklan
AB GHANI

Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) memandang positif kenyataan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican mengenai kelonggaran untuk membenarkan aktiviti sukan berpasukan seperti latihan diadakan semula.

Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Datuk Ab Ghani Hassan berkata, jika kelonggaran tersebut dibenarkan, ia akan menyaksikan pasukan boleh memulakan latihan lebih awal dalam menghadapi saingan Liga Malaysia (Liga-M) yang dijangka disambung semula September nanti.

Iklan
Iklan

"Kenyataan itu positif bagi semua sukan khususnya kepada Liga-M yang tergantung dalam beberapa bulan ini. Kita akan tunggu apakah bentuk kelonggaran yang akan diumumkan kerajaan. Di pihak MFL kita memang minta supaya pasukan dibenarkan berlatih lebih awal.

"Namun, segala keputusan kita akan tunggu dan lihat sebelum membuat kenyataan seterusnya. Bagi saya apa yang dinyatakan oleh Datuk Seri Reezal itu sangat positif kepada Liga-M,” katanya kepada Sinar Ahad semalam.

Iklan

Terdahulu, Reezal Merican memaklumkan, kerajaan dijangka memberi kebenaran untuk aktiviti sukan berpasukan dan dilangsungkan di dalam fasiliti tertutup.

Malah, atlet elit di bawah program Road to Tokyo (RTT) yang telah dan bakal layak ke Sukan Olimpik dan Paralimpik Tokyo tahun depan juga diberikan kelonggaran khas untuk mengadakan kem latihan pusat tertutup bermula Isnin lalu.

Iklan

Mengulas lanjut, Ab Ghani memberitahu, MFL juga telah menghantar prosedur operasi standard (SOP) kepada Kementerian Belia dan Sukan (KBS) untuk pasukan Liga-M memulakan latihan fasa pertama.

"Sama ada lulus atau tidak SOP itu belum diketahui. Mungkin SOP itu tidak mencukupi atau cukup-cukup saja untuk diluluskan kerana ia melibatkan soal keselamatan dan kesihatan ketika Covid-19 ini.

"Jika latihan dibenarkan, sudah tentu Majlis Keselamatan Negara dan Kementerian Kesihatan juga ada SOP mereka sendiri yang perlu kami patuhi.

"Tetapi kelonggaran yang dinyatakan itu bukanlah untuk menyambung saingan liga dalam masa terdekat sebaliknya hanya untuk sesi latihan. Jangan salah faham,” ujarnya.