Ancaman Covid-19 bukan alasan pasukan gagal lunas gaji pemain

Iklan
MOHD AZRAAI

Ancaman pandemik Covid-19 tidak seharusnya dijadikan alasan memburukkan lagi isu tunggakan gaji pemain mahupun pegawai yang dialami oleh beberapa pasukan dalam saingan Liga Malaysia (Liga-M), lapor SHAHRIZAL AHMAD ZAINI.

Jurulatih berpengalaman, Mohd Azraai Khor Abdullah berkata, isu tunggakan gaji membabitkan pemain dan pegawai pasukan sebenarnya telah lama berlaku sebelum wujudnya pandemik yang melanda seluruh dunia ketika ini.

Iklan
Iklan

"Amat tidak wajar sekiranya pandemik Covid-19 dijadikan alasan oleh sesetengah pihak dalam isu tunggakan gaji ini. Lebih teruk, ada pasukan salahkan Covid-19. Sebelum Covid-19 lagi hutang pasukan itu dah berlambak.

"Isu ini tak ada kena-mengena dengan Covid-19 sebab pasukan itu sepatutnya dah ada bajet untuk keseluruhan musim. Awal musim dah kena tahu berapa bajet, pemain mana nak ambil dan sebagainya.

Iklan

"Ini tidak, belanja tak ingat dunia. Tengok pasukan lain ambil pemain hebat, kita pun nak ambil pemain hebat. Sudahnya gaji tak bayar, hutang keliling pinggang,” katanya kepada Sinar Ahad semalam.

Mohd Azraai yang pernah membimbing beberapa pasukan Liga-M sebelum ini berkata, masalah kegagalan pasukan melunaskan gaji pemain dan pegawai tidak pernah berlaku ketika beliau bergelar pemain bola sepak sekitar tahun 1970-an.

Iklan

"Mungkin disebabkan ketika itu arena bola sepak negara masih pada tahap amatur dan belum memasuki era profesional sepenuhnya seperti hari ini. Terus terang saya katakan, ketika zaman saya bergelar pemain dulu, isu tunggakan gaji tak pernah timbul.

"Jadi bagi saya, paling penting pihak pengurusan perlu tahu dan belajar tentang pengurusan bajet pasukan. Hutang tetap hutang. Kena faham, itulah sumber pendapatan pemain profesional.

"Nasihat saya kepada mana-mana pasukan yang masih berdepan dengan isu tunggakan gaji ini, elok selesaikan segera. Dah pikul tanggungjawab sebagai presiden persatuan bola sepak negeri atau kelab, kena tanggunglah semua itu,” jelasnya.