Muafakat Nasional bincang strategi pertahan PN hingga PRU15

Iklan
Dr Asyraf Wajdi Dusuki

SHAH ALAM - Muafakat Nasional akan terus memastikan kerajaan Perikatan Nasional (PN) dapat dipertahankan sehingga Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) berdasarkan kepada kepentingan rakyat dan situasi politik semasa negara.

Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, itu antara perkara dibincangkan dalam mesyuarat jawatankuasa perundingan Muafakat Nasional yang diadakan di Ibu Pejabat UMNO di Kuala Lumpur malam kelmarin.

Iklan
Iklan

"Kita membincangkan bagaimana hendak memastikan kerajaan Perikatan Nasional terus dipertahankan terutamanya dalam usaha menangani pelbagai masalah rakyat ketika Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dan pasca PKPB ini, walaupun cuba diasak dan digasak oleh pembangkang Pakatan Harapan (PH) yang sehingga hari ini berusaha memancing ahli-ahli Parlimen yang menyokong kerajaan PN,” katanya kepada Sinar Harian semalam.

Sebelum ini, PN mengambil alih Putrajaya Mac lalu setelah Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin membawa keluar Bersatu dari PH untuk membentuk kerjasama baharu dengan UMNO, Barisan Nasional dan Pas dengan sokongan Gabungan Parti Sarawak (GPS).

Iklan

Bagaimanapun baru-baru ini, tersebar spekulasi mendakwa PH akan kembali menjadi kerajaan bersama kumpulan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan disokong oleh Parti Warisan Sabah (Warisan).

Berdasarkan kedudukan ketika sidang Dewan Rakyat pada 18 Mei lalu, jumlah ahli Parlimen yang menyokong kerajaan adalah 113 orang, bermakna Muhyiddin hanya memiliki majoriti dua kerusi.

Iklan

Terbaharu, Ahli Parlimen Lubok Antu Tambat@Jugah Muyang mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri di Putrajaya bagi menyerahkan aku janji menyokong kerajaan PN diterajui Muhyiddin semalam.

Pada Pilihan Raya Umum ke-14 lalu, Tambat@Jugah bertanding sebagai calon Bebas dan menang atas mandat rakyat sebelum bersama penyokongnya menyertai Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang menjadi sebahagian daripada kerajaan PH.