Bagaikan kebetulan, Malaysia dan Amerika Syarikat ketika ini menghadapi keadaan yang kurang menyenangkan ketika wabak koronavirus (Covid-19) masih terus menghantui kehidupan. Wabak maut itu menyerang bukan sahaja kedua-dua negara itu, malahan di seluruh dunia.
Dalam ruangan lidah pengarang, Nanyang Siang Pau mengulas, ketika rakyat Malaysia bertarung melawan Covid-19 daripada terus merebak, suasana politik tanah air pula agak panas dan memperlihatkan kerajaan berada dalam keadaan kurang stabil.
Begitu juga di AS. Rusuhan berlaku secara meluas di seluruh negara memasuki minggu kedua. Keadaan berkenaan masih belum menampakkan ada tanda-tanda akan berakhir dalam masa terdekat.
Kematian lelaki kulit hitam, George Floyd akibat tindakan ganas seorang anggota polis berkulit putih turut menggusarkan Presiden AS, Donald Trump.
Kata akhbar itu, Trump seperti telah hilang sabar lalu mengeluarkan kenyataan melalui Twitternya dengan mengugut akan melepaskan anjing-anjing ganas dan menggunakan senjata yang paling kejam sekiranya penunjuk perasaan mencerobohi Rumah Putih.
Bagaimanapun, ugutannya tidak sedikit pun menakutkan penunjuk perasaan sehingga pada 1 Jun lalu, Trump sekali lagi terpaksa memberikan amaran lebih keras iaitu akan mengerahkan pasukan tentera untuk mengawal keadaan di kawasan-kawasan terbabit.
Itulah situasi yang sedang berlaku di AS ketika wabak Covid-19 telah meragut lebih 100,000 nyawa rakyatnya.
Menurut akhbar itu, apakah penunjuk perasaan di AS itu tidak sedar dan tidak takut kepada wabak Covid-19?
"Rakyat Amerika Syarikat sendiri telah memberikan peluang kepada virus Covid-19 untuk terus merebak secara bebas. Kemungkinan jumlah kes akan terus mencatatkan peningkatan yang tinggi dalam beberapa minggu akan datang.
"Di negara kita sendiri, rakyat juga bimbang ura-ura akan diadakan pilihan raya umum memandangkan kerajaan sekarang dikatakan tidak mempunyai majoriti yang cukup.
"Kerajaan dan rakyat jelata telah bersusah-payah berusaha mencegah wabak Covid-19 daripada terus menular dan ia telah menunjukkan kejayaan sejak akhir-akhir ini.
"Kita tidak mahu disebabkan pergolakan politik, kesihatan rakyat pula diabaikan. Apa yang lebih penting pada hari ini ialah bagaimana perlu mematikan rantaian Covid-19, bukan memikirkan soal politik yang dicetuskan oleh sesetengah orang politik yang mempunyai agenda tersendiri,” kata akhbar itu lagi.
Pujian
Sementara itu, akhbar China Press memuji usaha kerajaan untuk terus menyalurkan bantuan kepada rakyat melalui pakej rangsangan ekonomi melalui Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana) yang diumumkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Menurut akhbar itu, adalah tepat pada masanya pelan ekonomi berkenaan dilaksanakan bagi faedah segenap lapisan masyarakat yang terkesan akibat wabak Covid-19.
"Sebagai contoh, Program MY30 bagi mengurangkan beban pengguna perkhidmatan pengangkutan awam di Lembah Klang pastinya melegakan golongan yang setiap hari menggunakan pengangkutan awam. Menerusi insentif itu, pengguna hanya perlu membayar RM30 sebulan bagi mendapatkan pas perjalanan tanpa had.
"Begitu juga lebih 300,000 golongan orang kurang upaya (OKU) dan ibu tunggal yang disenarai di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) akan menerima bantuan one-off sebanyak RM300 bagi mengurangkan beban mereka,” kata akhbar itu yang percaya inisiatif tersebut mampu mengurangkan beban hidup rakyat dalam tempoh terdekat ini.