Kelebihan media konvensional di sebalik kemunculan media baharu

Iklan

SURAT khabar, adakah ia masih relevan atau sebaliknya dalam sosial masyarakat zaman kini?

Sejak kemunculan media baharu iaitu media online, industri media konvensional terpaksa bergelut untuk mengekalkan kelangsungan perjuangan mereka sehingga hari ini.

Iklan
Iklan

Justeru, mungkin tidak keterlaluan untuk mengatakan bahawa rata-rata masyarakat khususnya generasi muda kini sudah tidak memiliki keghairahan atau berminat untuk membeli walaupun senaskhah akhbar.

Ia sesuatu yang agak menyedihkan kerana jika dibandingkan 20 tahun lalu, ketibaan naskhah surat khabar di pasaran sentiasa dinanti-nantikan terutamanya peminat sukan tanah air.

Iklan

Mengimbau kenangan lalu, penulis dapat mengingati bagaimana kebanyakan antara kita setia menunggu surat khabar untuk mendapatkan informasi baharu.

Penulis berani jamin bahawa sebahagian besar pembaca akan ‘memusingkan’ surat khabar terlebih dahulu untuk membaca segmen sukan khususnya bola sepak yang merupakan sukan No. 1 di Malaysia.

Iklan

Masakan tidak, cerita sensasi sukan bola sepak tempatan dan suasana Liga Malaysia yang meriah sering menghiasi dada akhbar dan sentiasa diikuti pembaca. Apatah lagi jika melibatkan perlawanan besar.

Betapa besar impak akhbar dahulu, jika anda tidak hadir di stadium sekali pun, anda seolah-olah dapat merasakan diri berada di sana dengan hanya membaca berita atau rencana dalam akhbar.

Justeru, tidak hairanlah mengapa ada peminat sukan termasuk penulis sanggup menyimpan keratan akhbar atau artikel sukan tersebut untuk dijadikan kenangan.

Kepuasan itu tidak dapat digambarkan lebih-lebih lagi penulis pernah bertugas sebagai wartawan dan tahu benar bagaimana mereka berusaha keras untuk mendapatkan bahan berita demi kepuasan pembaca.

Namun, semua itu sudah tiada lagi dalam masyarakat kita sejak trend membaca beralih daripada media fizikal kepada media alam maya.

Jangan salah faham, penulis juga mengikuti perkembangan semasa melalui media online tetapi tanpa dapat disangkal, penulis masih setia terhadap surat khabar.

Penulis berharap surat khabar tidak akan menjadi peninggalan sejarah untuk generasi akan datang.

Ini kerana penulis optimis bahawa surat khabar secara tidak langsung dapat membentuk budaya membaca yang lebih signifikan. Ia juga jelas merupakan sumber sahih berita untuk masyarakat awam.

Akhir kata, penulis berharap mesej ini dapat disampaikan kepada semua lapisan masyarakat di mana kita semua sebenarnya mampu menyelamatkan industri media konvensional.

Dengan bayaran RM1 atau RM2 senaskhah, penulis yakin kos tersebut tidak membebankan orang ramai dalam usaha mengekalkan budaya membaca akhbar yang penulis anggap masih relevan untuk generasi akan datang.

Apa yang pasti, berita sukan terutamanya berita bola sepak akan sentiasa menjadi tatapan para pembaca sebagai topik utama dan tidak akan luput di mata masyarakat.