TUMPAT - Perut ayam sinonim dijadikan sate percik di Kelantan namun tahukah anda terdapat satu-satunya kedai di Kampung Chabang Empat Tok Mek Ngah di sini yang menjadikannya sebagai ‘gulai darat’?
Peniaga Gulai Darat Perut Ayam Kampung, Ab Rahman Mamat, 69, atau mesra dikenali Pok Ya berkata, gulai perut yang dihasilkannya sejak 35 tahun lepas itu menjadi rebutan pelanggan hampir setiap hari seawal jam 7 pagi dan ianya laris dijual dalam tempoh dua jam.
Kebiasaannya di negeri ini, perut ayam digunakan untuk membuat masakan percik namun beliau mencipta kelainan dengan menggunakan perut ayam untuk masakan gulai dan dinikmati bersama nasi.
"Bagi mengelakkan bau hanyir dan memastikan perut ayam bersih serta tidak berbau, saya perlu mengikisnya menggunakan pisau sabit khusus bagi mengeluarkan kotoran yang ada selain turut merebus selama setengah jam dan merendamnya dalam air cuka.
"Memandangkan saya turut menjual nasi berlauk dengan pelbagai pilihan lauk termasuk gulai ayam, serati dan sebagainya, sekurang-kurangnya dengan menghasilkan masakan ini ia dapat mengelakkan bahagian perut itu dibuang begitu sahaja," katanya ketika ditemui pemberita di kedai miliknya di sini semalam.
Bapa kepada lima anak itu berkata, beliau mengambil keputusan untuk berniaga sejak 35 tahun lalu bagi menampung perbelanjaan persekolahan anak-anak dan idea menjadikan gulai perut ayam ini timbul bagi mengelakkan pembaziran.
Pok Ya menggunakan resipi formula yang dicipta sendiri menjadikan rahsia keunikan gulai miliknya sejak dahulu dengan menggunakan pelbagai jenis campuran rempah yang diolah sendiri serta dicampur dengan budu tempayan dan resipi ini dikekalkan sehingga ke hari ini.
Beliau akan memproses perut berkenaan serta memasak gulai untuk dijual itu sehari sebelum menjualnya iaitu pada jam 5 petang selepas tamat berniaga sekitar jam 3 petang memandangkan proses untuk menyediakannya mengambil masa.
"Pada awal perniagaan dahulu saya hanya menggunakan perut sekitar lima ekor ayam kampung untuk dijual pada setiap hari dengan anggaran sekilogram perut ayam yang diperoleh namun kini ianya mencecah lebih 15 ekor sehari.
"Kini saya mampu menghasilkan sebanyak lima kilogram perut ayam gulai yang dijual pada harga RM3 sebungkus bersama nasi dan ada sesetengah pelanggan akan membeli perut ayam sahaja yang dijual pada harga RM3 hingga RM5 sebungkus.
"Memandangkan saya pun sudah berusia, itu sahajalah kudrat saya walaupun permintaan pelanggan meningkat setiap hari sehingga tidak mampu untuk memenuhinya,” katanya yang turut dibantu anak keduanya Mohd Johari, 43. - Bernama