Kelantan sedia hadapi saman

Iklan
Ahmad menyampaikan cenderahati kepada Zuraida selepas kunjung hormat, hari ini.

KOTA BHARU - Kerajaan Kelantan sedia berdepan saman Kerajaan Pusat berhubung tuntutan tanah adat Orang Asli Temiar di Pos Simpor, Gua Musang.

Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob berkata, pihaknya masih menunggu dokumen rasmi daripada pihak Peguam Negara.

Iklan
Iklan

Beliau berkata, pihaknya juga tertanya-tanya isi kandungan serta tujuan saman itu dikeluarkan kerana hanya mengetahui maklumat lain menerusi laporan akhbar.

"Sejarah, sebab ia tak pernah berlaku tapi kita akan sedia berdepan dengan saman ini.

Iklan

"Kita akan putuskan sebarang keputusan dalam mesyuarat Exco kerajaan negeri (MMK)," katanya selepas menerima kunjungan daripada Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin di JKR 10, hari ini.

Ahmad berkata, sebelum ini kerajaan negeri berusaha memenuhi kebajikan orang asli antaranya agihan tanah untuk dijadikan kawasan 'rayau', perumahan dan pertanian.

Iklan

Terdahulu, Jabatan Peguam Negara memfailkan tindakan undang-undang di Mahkamah Tinggi Kota Bharu bagi pihak masyarakat Orang Asli Temiar terhadap Kerajaan Kelantan.

Kes saman yang difailkan Kerajaan Persekutuan terhadap Kerajaan Kelantan dan tujuh lagi itu untuk mendapatkan pengiktirafan hak tanah adat Orang Asli Temiar di Pos Simpor berhampiran Gua Musang dan sebutannya pada 22 Januari ini.

Dalam pada itu, Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah turut mendakwa kerajaan Kelantan tidak pernah memberi perhatian serius terhadap tuntutan kaum itu malah membenarkan sebarang aktiviti yang memberi keuntungan kepada pihak lain.

Beliau turut menyifatkan tindakan saman dari Kerajaan Pusat itu adalah sebagai tindakan terakhir bagi penyelesaian itu.

[ARTIKEL BERKAITAN: Saman Kelantan: Cara terakhir tuntut tanah adat]