KUALA LUMPUR - Polis menggempur dua buah kediaman di ibu negara yang dijadikan lokasi parti liar dan menahan seramai 34 individu.
Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Superintendan Rajab Ahad Ismail berkata, serbuan pertama kira-kira jam 11.20 malam, Jumaat lalu di sebuah residence di Jalan Ampang menahan 24 individu termasuk lima wanita berusia lingkungan 14 hingga 40 tahun.
Menurutnya, semakan lanjut mendapati tiga yang ditahan adalah remaja di bawah umur.
"Dalam serbuan sama polis turut merampas 11 pil disyaki ekstasi, satu paket plastik disyaki ganja, dua paket disyaki ketamin yang dianggarkan bernilai RM420. Dipercayai dadah ini dibawa masuk oleh pengunjung yang hadir di parti liar terbabit.
"Ujian air kencing juga mengesahkan 20 tangkapan terbabit positif dadah," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Sementara itu katanya, dalam operasi berasingan, polis menggempur sebuah kondominium di Jalan Ampang awal pagi tadi dan menahan 10 individu termasuk lima wanita berusia lingkungan 19 hingga 31 tahun.
Rajab berkata, polis merampas minuman keras serta peralatan muzik dalam operasi kira-kira jam 1.30 pagi itu.
Mengulas lanjut, polis percaya kediaman terbabit telah disewa RM250 sehari untuk menganjurkan parti liar yang dihadiri oleh mereka yang saling mengenali dan dijemput menerusi aplikasi WhatsApp serta panggilan telefon.
Tambahnya, bagi kes dadah, tindakan telah diambil di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952 dan warga asing terlibat disiasat mengikut Akta Imigresen 1959/63.
"Suspek turut dikompaun RM1,000 di bawah Peraturan 15 Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2020.
"Polis mengucapkan terima kasih kepada orang awam yang memberikan maklumat berkaitan 'private party' tersebut dan mengharapkan kerjasama semua pihak supaya mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) demi memutuskan rangkaian jangkitan Covid-19 ini.
"Orang ramai dinasihatkan tidak terlibat dengan sebarang aktiviti jenayah kerana tindakan tegas berdasarkan undang undang akan diambil kepada yang ingkar," katanya.