Melaka belum benarkan operasi kedai gunting rambut, pasar malam

Iklan
Laporan Sinar Harian semalam.

MELAKA TENGAH - Melaka belum bersedia membenarkan perkhidmatan menggunting dan mendandan rambut serta kecantikan, pasar pagi terbuka, pasar malam serta bazar ria kembali beroperasi pada tarikh yang diumumkan kerajaan Persekutuan pada 10 dan 15 Jun ini.

Ketua Menteri, Datuk Sulaiman Md Ali berkata, ini kerana kerajaan Melaka akan meneliti terlebih dahulu prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) kerana negeri itu juga mempunyai SOP sendiri.

Iklan
Iklan

Menurutnya, pembukaan sektor ekonomi terutama pasar pagi, terbuka, malam dan bazar ria akan melibatkan kumpulan yang besar pada satu-satu masa, justeru perlu dirancang dan dilaksana secara terperinci agar wabak koronavirus (Covid-19) dapat dikekang.

"Kedua-dua SOP ini akan diteliti dalam mesyuarat bersama MKN serta Jawatankuasa Khas Menangani Covid-19 dan akan diumumkan dalam masa terdekat.

Iklan

"Kita faham dan simpati dengan situasi peniaga sektor ini, namun pada masa sama kepentingan atau keselamatan awam perlu diambil kira. Lagipun operasi pasar di setiap negeri adalah berbeza," katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas lawatan ke pusat pembungkusan dan pengagihan peralatan perlindungan diri di sini hari ini.

Iklan

Semalam, Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, perkhidmatan mengunting dan mendandan rambut serta kecantikan dibenarkan beroperasi mulai 10 Jun ini susulan sumbangan sektor itu kepada Keluaran Dalam Negara Kasar negara yang berjumlah RM13.5 bilion setahun.

Ismail Sabri turut dilaporkan berkata, semua pasar terbuka, pagi dan malam serta bazar ria di Wilayah Persekutuan dibenarkan beroperasi bermula 15 Jun ini dan waktu operasi bagi pasar pagi dan pasar terbuka ialah 6 hingga 11 pagi, pasar malam (4 petang hingga 10 malam) dan bazar ria (5 petang hingga 11 malam).

ARTIKEL BERKAITAN: Kedai gunting rambut sudah boleh operasi mulai 10 Jun

Sementara itu, Sulaiman berkata, kerajaan Melaka tidak membenarkan minuman keras diminum di dalam premis jualan sebaliknya perlu dibawa balik dan diminum di rumah.

Beliau berkata, keputusan itu dibuat berikutan banyak kemalangan membabitkan pemandu mabuk sehingga meragut nyawa mangsa dilaporkan media sejak kebelakangan ini. - Bernama