PUTRAJAYA – Malaysia akan memasuki fasa pemulihan penularan koronavirus (Covid-19) dengan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) yang akan berkuat kuasa pada Rabu ini.
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, fasa pemulihan itu adalah sebahagian daripada 'exit strategy' atau strategi keluar daripada Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang mula dilaksanakan pada 18 Mac lalu diikuti dengan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang dikuatkuasakan sejak 4 Mei dan berakhir Selasa ini.
"Alhamdulillah, sejak PKP dan PKPB dilaksanakan kadar jangkitan Covid-19 di negara kita menunjukkan trend yang semakin menurun.
"Statistik Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memperlihatkan kadar jangkitan dalam kalangan rakyat tempatan semakin rendah dan terkawal,” katanya pada Perutusan Khas Perdana Menteri mengenai PKP yang disiarkan secara langsung menerusi stesen televisyen tempatan dan rangkaian media sosial di sini sebentar tadi.
Mengulas lanjut, Muhyiddin berkata, kebanyakan kes yang dicatatkan sejak kebelakangan ini adalah kes import dan kes-kes yang melibatkan pendatang asing tanpa izin (PATI) di depot tahanan imigresen.
"Kita bersyukur kerana tindakan pantas petugas barisan hadapan telah berjaya membendung penularan Covid-19 dalam kalangan tahanan di depot imigresen dan keadaan pada masa ini adalah terkawal.
"Pada masa yang sama, kapasiti perubatan dan kesihatan awam negara kita juga berada pada tahap yang lebih baik dan meyakinkan. Ini menunjukkan Malaysia telah berjaya membendung penularan Covid-19 dengan berkesan dan kini sedang memasuki fasa pemulihan,” katanya.
Katanya, kejayaan itu adalah kejayaan semua petugas barisan hadapan dan semua pihak yang memberikan sumbangan dalam membendung wabak itu.
"Syabas kepada petugas barisan hadapan dan anda semua yang telah menyumbang kepada kejayaan kita membendung wabak Covid-19. Anda telah memberi kerjasama yang baik kepada pihak berkuasa dengan mematuhi semua prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan sepanjang PKP dan PKPB dilaksanakan,” katanya.