KUALA TERENGGANU - Keputusan kerajaan membenarkan perkhidmatan gunting rambut beroperasi semula mulai Rabu ini ternyata memberi kegembiraan kepada tukang gunting kerana mereka dapat ‘bernafas semula’ setelah tiada pendapatan hampir tiga bulan.
Pengasas Matt Barber Shop, Mohd Yusof Taib, 38, berkata, meskipun prosedur operasi standard (SOP) yang diberikan agak ketat berbanding sektor lain, beliau tetap bersyukur kerana sekurang-kurangnya seramai 60 pekerjanya dapat kembali bekerja.
"Saya kasihankan pekerja kerana pendapatan mereka memang terjejas teruk. Segala SOP seperti perlu memakai apron pakai buang dan sarung tangan baharu untuk setiap pelanggan akan dipatuhi asalkan mereka boleh kembali bekerja,” katanya ketika ditemui di sini semalam.
Bagaimanapun, Mohd Yusof mengakui terpaksa menaikkan caj sebanyak RM5 untuk setiap perkhidmatan di 10 cawangan kedai guntingnya di Terengganu dan Kuantan, Pahang bagi menampung kos penyediaan peralatan pematuhan SOP seperti membeli cecair pembasmi kuman, apron pakai buang dan sarung tangan.
Selain itu, Mohd Yusof berkata, pihaknya menjangkakan akan hanya menerima sehingga 70 pelanggan dalam sehari berbanding lebih 100 sebelum ini berikutan terpaksa mengurangkan jumlah pelanggan dalam satu-satu masa bagi mematuhi jarak antara kerusi tukang gunting, sekurang-kurangnya dua meter.
Dalam pada itu, Mohd Yusof menyeru kepada semua pemilik kedai gunting rambut supaya mematuhi SOP yang diberikan bagi memastikan kebenaran untuk beroperasi ini tidak akan ditarik semula.
Sementara itu, Ahmad Tarmizi Abdul Rashid, 36, yang mempunyai dua cawangan kedai gunting rambut di sekitar Kuala Terengganu berkata, pihaknya tidak mahu tergesa-gesa membuka kedai pada Rabu ini dan akan hanya kembali beroperasi pada 15 Jun nanti.
Hal ini kerana beliau mahu betul-betul memahami SOP menggunting rambut pelanggan yang dikenakan dan ingin melihat terlebih dahulu kaedah keselamatan dan kebersihan yang diamalkan oleh kedai gunting rambut yang lain.
"Saya tengok SOP agak ketat jadi saya mahu ‘study’ (kaji) dahulu sebab takut kalau kita tidak ikut SOP bukan sahaja kena saman tetapi berisiko berlakunya penyebaran Covid-19.
"Ada juga pekerja saya yang masih risau akan keselamatan diri apabila kembali bekerja,” katanya. - Bernama