KEMENTERIAN Belia dan Sukan (KBS) menyambut baik pengumuman Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang memberikan lampu hijau dan ruang kepada sektor sukan dan rekreasi dibuka dengan pematuhan operasi prosedur standard (SOP) ditetapkan.
Menurut Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican, pengumuman itu akan memberikan manfaat terutama kepada komuniti sukan dan industri sukan secara umumnya.
Katanya, antara yang diumumkan Perdana Menteri melibatkan kebenaran untuk latihan persediaan pasukan, aktiviti yang tidak melibatkan sentuhan badan dan aktiviti berkumpulan di luar.
"Selain itu pertandingan sukan atau permainan melibatkan perhimpunan penyokong atau penonton yang ramai adalah tidak dibenarkan. Sukan renang dan kolam renang awam juga tidak dibenarkan.
"Dengan kelonggaran yang diberikan ini, apa yang dapat diperkatakan adalah negara sudah bersedia untuk kembalikan dunia sukan,” katanya menerusi kenyataan media hari ini.
Hari ini Muhyiddin membuat pengumuman Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) yang akan dilaksanakan mulai 10 Jun hingga 31 Ogos depan.
Sementara itu, Reezal Merican berkata, pelbagai inisiatif dan cadangan SOP sektor sukan dari negara luar diteliti dan mengambil kira pandangan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KMM).
Katanya, kesemua pandangan berkenaan bakal dilaksanakan secara beransur-ansur dan dengan tanggungjawab bersama semua pihak.
"Esok, Menteri Kanan Pertahanan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob akan mengadakan sidang media pada jam 2 petang diikuti dengan sidang media saya di Kementerian Belia dan Sukan (KBS) mulai jam 4 petang.
"Kami akan memberikan lebih perincian kepada keputusan kerajaan dan SOP-SOP pembukaan sektor sukan dan rekreasi Fasa 2 termasuklah tarikh ia akan berkuatkuasa,” katanya.