WASHINGTON - Protes membantah kekejaman polis yang menyebabkan kematian George Floyd pada 25 Mei lalu dan diskriminasi perkauman masih berterusan pada akhir minggu ini dan tidak hanya di Amerika Syarikat (AS) malah kini telah merebak ke beberapa negara.
Ribuan penunjuk perasaan berarak di London, Berlin, Warsaw, Brisbane, Melbourne, Tokyo dan Seoul sebagai tanda solidariti dengan penunjuk perasaan di Amerika yang turut berdepan konfrontasi rasisme di negara masing-masing.
Semalam, beberapa kejadian pertempuran dilaporkan di London selepas sekumpulan individu mencetuskan provokasi dengan membaling objek hingga memaksa pihak berkuasa dikerah mengawal keadaan yang turut menyaksikan 10 anggota polis cedera dan 14 peserta protes ditahan.
Sementara itu, puluhan ribu peserta protes berhimpun di beberapa bandar utama di AS pada hari ke-12 tanpa berlaku insiden keganasan seperti yang berlaku pada awal minggu lalu.
Demonstrasi itu diadakan dari New York hingga ke Los Angeles dan Washington yang menjadi pusat protes masih menyaksikan ribuan penunjuk perasaan mengerumuni Rumah Putih yang diletakkan halangan pagar besi.
"Perjuangan ini berlarutan selama beberapa dekad, ratusan tahun dan sudah tiba masanya untuk melihat perubahan,” kata penduduk Washington, Christine Montgomery.
Difahamkan, pasukan sukarelawan turut mengedarkan air minuman, cecair pembasmi kuman dan bekalan lain kepada penunjuk perasaan.
Perhimpunan pada kali ini lebih aman dengan pelbagai acara diadakan termasuk melukis mural, jualan trak makanan dan kemeja T gerakan antirasisme, Black Lives Matter.
Bagaimanapun, perhimpunan mega itu mencetuskan kebimbangan terhadap gelombang kedua penularan wabak koronavirus (Covid-19) di beberapa negara yang mula menarik balik perintah berkurung.
Di United Kingdom, Menteri Dalam Negeri, Priti Patel merayu kepada orang ramai supaya tidak menyertai perhimpunan itu kerana khuatir ia akan memburukkan lagi pandemik tersebut yang telah meragut hampir 40,500 nyawa di negara terbabit.
"Saya benar-benar faham dengan pandangan dan keinginan mereka untuk menuntut hak tetapi kita berada dalam situasi kesihatan pandemik ketika ini,” katanya.
Keadaan sama turut dilaporkan di Paris yang menyaksikan sekumpulan peserta protes berhimpun walaupun dilarang pihak berkuasa kerana bimbang terhadap kesannya kepada kesihatan awam.
Terdahulu, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengeluarkan saranan terkini supaya orang ramai memakai topeng muka ketika berada di tempat awam.
"Berdasarkan bukti yang terus berkembang, WHO menyarankan kepada pemerintah supaya menggalakkan orang ramai untuk memakai topeng muka di mana berlaku penyebaran yang meluas dan langkah penjarakan sosial yang sukar dilaksanakan pada pengangkutan awam, kedai atau kawasan yang sesak,” kata Ketua WHO, Tedros Adhanom Ghebreyesus.
Beberapa pakar menyatakan risiko penularan virus ketika perhimpunan dapat dibendung jika penunjuk perasaan memakai topeng muka.
Bagaimanapun, mereka bimbang tindakan tegas polis ketika insiden pertempuran yang melepaskan gas pemedih mata dan menyebabkan peserta protes batuk-batuk lalu menanggalkan topeng muka mereka boleh mengakibatkan virus itu merebak dengan lebih meluas. - Agensi