TARIKH 24 Februari 2020 pasti menjadi catatan bersejarah untuk negara apabila Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang baru setahun menaiki takhta sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16 menghadapi krisis politik terbesar negara gara-gara berlakunya pertukaran kerajaan.
Menggantikan Yang di-Pertuan Agong ke-15, Sultan Muhammad V yang juga Sultan Kelantan pada tahun 2019, siapa sangka Al-Sultan Abdullah perlu menempuh krisis politik terbesar negara dalam tempoh singkat pemerintahan Seri Paduka Baginda.
Tempoh seminggu selepas keputusan peletakan jawatan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang mewakili kerajaan Pakatan Harapan (PH) pada hujung Februari lalu sememangnya penuh debaran.
Ketika itu ahli Parlimen daripada PH atau blok baharu dipanggil Perikatan Nasional (PN) mendakwa mempunyai majoriti sokongan ahli Parlimen untuk membentuk kerajaan baharu. Seri Paduka Baginda ternyata berdepan tugas getir bagi memastikan amalan demokrasi berperlembagaan dapat dipertahankan.
Dalam tempoh itu, sebarang keputusan tergesa-gesa yang dibuat bukan sahaja boleh mencetuskan pergolakan politik terbesar, bahkan mampu menjerumuskan Malaysia kepada episod lebih parah dalam kalangan rakyat.
Bagaimanapun, pengalaman luas Al-Sultan Abdullah sebagai Pemangku Raja Pahang seawal usia 20 tahun untuk tempoh lima tahun selepas ayahanda Seri Paduka dilantik sebagai Yang di-Pertuan Agong ketujuh pada tahun 1979, ternyata menjadikan Seri Paduka Baginda seorang pemimpin bijaksana.
Bermula dengan keputusan melantik kembali Dr Mahathir sebagai Perdana Menteri Interim untuk memastikan jentera pentadbiran negara kekal efisien, Al-Sultan Abdullah kemudiannya melakukan beberapa siri tindakan penting untuk menentukan kelancaran pentadbiran kerajaan baharu.
Siri keputusan penting itu termasuk titah Al-Sultan Abdullah untuk mengadakan pertemuan dengan keseluruhan 222 ahli Parlimen mengikut blok parti di Istana Negara sekali gus menyebabkan istana itu menjadi tumpuan pengamal media yang ‘berkampung’ setiap hari.
Lebih menarik, Seri Paduka Baginda mempamerkan ketenangan dalam menangani krisis politik apabila sanggup mencemar duli menyerahkan sendiri sumbangan makanan kepada puluhan pengamal media yang berhujan berpanas di luar Istana Negara.
Tindakan mengejut Al-Sultan Abdullah mengundang kekaguman seluruh rakyat Malaysia yang menyaksikan sendiri gambaran keperibadian Seri Paduka Baginda yang selama ini dikatakan sangat adil dan berjiwa rakyat.
Bahkan, peristiwa itu turut memberi inspirasi kepada banyak syarikat tempatan untuk turut menghulur sumbangan makanan dan peralatan elektronik kepada semua pengamal media yang mengadakan liputan media.
Kombinasi ketenangan, kebijaksanaan dan sifat empati kepada rakyat dimiliki Seri Paduka Baginda ternyata menjadi intipati penting menyelesaikan krisis pentadbiran negara mengikut Perlembagaan Persekutuan dan berlangsung dalam suasana aman damai.
Mengimbas kembali sifat keperibadian Al-Sultan Abdullah, kemampuan menyahut sebarang cabaran besar serta sifat sopan dalam menyantuni rakyat sepanjang 61 tahun hayat kehidupan Seri Paduka Baginda adalah suatu nilai yang diwarisi daripada Paduka Ayahanda Almarhum Sultan Ahmad Shah.
Berjiwa rakyatDitambah dengan sokongan isteri, Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah yang sangat berjiwa rakyat, keprihatinan Al-Sultan Abdullah mendepani masalah rakyat dapat disaksikan dengan jelas.
Daya kepimpinan Seri Paduka Baginda tidak terhad kepada aspek pemerintahan negeri dan kerajaan sahaja, bahkan turut meliputi bidang sukan.
Sebagai seorang pemimpin yang memiliki minat mendalam terhadap sukan bola sepak, hoki dan polo, Seri Paduka langsung tidak gentar apabila diminta menerajui Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) sebagai Presiden sebagaimana pernah digalas ayahandanya.
"I’m married to football first before my wife (Saya jatuh cinta dengan bola sepak dulu sebelum bertemu jodoh dengan isteri saya),” titah Seri Paduka Baginda sewaktu diwawancara wartawan suatu ketika dahulu.
Diputerakan pada 30 Julai 1958 di Istana Mangga Tunggal, Pekan di Pahang, Al-Sultan Abdullah ialah cahaya mata keempat dan putera sulung kepada Almarhum Sultan Ahmad Shah dan Almarhum Tengku Ampuan Afzan Tengku Muhammad.
Seri Paduka Baginda menerima pendidikan awal prasekolah di Sekolah Clifford, Kuala Lipis pada tahun 1965 dan menyambung persekolahan di Sekolah Kebangsaan Ahmad, Pekan (1966-1969); Sekolah Rendah Kebangsaan St Thomas, Kuantan dan Sekolah Menengah Kebangsaan St Thomas (1970-1974).
Al-Sultan Abdullah kemudiannya meneruskan pendidikan di The Royal Military Academy Sandhurst, United Kingdom (UK) selama setahun bermula 1978, sebelum dilantik sebagai Leftenan Muda dengan menerima pentauliahan oleh Queen Elizabeth II pada tahun 1980.
Al-Sultan Abdullah mendirikan rumah tangga dengan Tunku Azizah pada 6 Mac 1986 dan memiliki sembilan orang cahaya mata.
Sempena Hari Keputeraan Seri Paduka Baginda Al-Sultan Abdullah pada 8 Jun ini, rakyat Malaysia harus bersyukur kerana dikurniakan seorang raja yang sinonim dengan ‘DNA’ berjiwa rakyat dan bijaksana dalam menentukan hala tuju masa hadapan negara.
Dirgahayu Seri Paduka Baginda.