LABUAN - Cadangan pembinaan jambatan menghubungkan Labuan dengan tanah besar Sabah yang sudah lama diperkatakan perlu diberikan perhatian serius kerana manfaat ekonomi yang bakal diterima pulau ini.
Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa berkata, beberapa isu mungkin akan timbul seperti kos dan teknikal yang perlu diselesaikan menerusi kerjasama rapat antara antara kerajaan Sabah dan kerajaan Persekutuan.
"Kami berbincang panjang pagi ini dan saya melawat tapak yang dicadangkan untuk memahami potensi kewujudan jambatan itu.
"Sebagaimana saya nyatakan sebelum ini, kami tidak perlu bercakap banyak mengenai semua perkara ini dan kemudian anda mungkin tidak boleh menyampaikannya, namun kami menerima kenyataan bahawa pembinaan jambatan itu adalah sesuatu yang perlu diberi perhatian serius," katanya
Beliau berkata demikian kepada media selepas menyerahkan surat pelantikan Majlis Perwakilan Penduduk (MPP), di Wisma Perbadanan Labuan di sini hari ini.
Annuar sedang dalam lawatan selama tiga hari buat julung kalinya ke Labuan sejak pelantikan beliau sebagai Menteri Wilayah Persekutuan Mac tahun ini.
Menurutnya, kesemua aspek perlu dikaji sepenuhnya sebelum projek itu dapat dimulakan termasuk keperluan menilai dan melakukan kajian mendalam pelan pembangunan Labuan supaya selari dengan statusnya sebagai sebuah Wilayah Persekutuan.
"Saya mahu melihat pelan pembangunan Labuan dalam konteks lebih besar termasuk aspirasi awal kerajaan menjadikan Labuan sebagai sebuah wilayah persekutuan," katanya.
Sementara itu, Annuar berkata, jawatan Pengerusi Perbadanan Labuan yang kosong akan diisi tidak lama lagi.
"Jawatan pengerusi tidak ditamatkan tetapi semua pelantikan politik oleh kerajaan Pakatan Harapan sebelum ini gugur secara automatik selepas Perikatan Nasional membentuk kerajaan.
"Pelantikan Pengerusi Perbadanan Labuan yang baharu dari Labuan sudah dimaklumkan kepada Perdana Menteri dan beliau akan menentukannya,” katanya.
Jawatan Pengerusi Perbadanan Labuan sebelum ini disandang Datuk Seri Amir Hussien daripada Parti Amanah Negara. - Bernama