Thailand catat lapan kes baharu Covid-19

Iklan
Gambar hiasan. - Foto Bangkok Post

BANGKOK - Thailand melaporkan lapan kes jangkitan koronavirus (Covid-19) baharu, kesemuanya warganegara Thai yang pulang dari luar negara, namun tiada sebarang kes kematian dilaporkan dalam tempoh 24 jam yang lalu.

Pembantu jurucakap Pusat Pentadbiran Situasi Covid-19 (CCSA), Dr Panprapa Yongtrakul berkata, kes baharu itu melibatkan lima dari Emiriyah Arab Bersatu, dua (Kuwait) dan seorang dari India, sedang menjalani kuarantin 14 hari di fasiliti kuarantin kerajaan sejak mereka pulang ke negara itu.

Iklan
Iklan

"Sejak 13 hari yang lepas, tiada jangkitan tempatan yang baru. Kita tidak boleh leka (tiada jangkitan tempatan). Kita mesti terus mengekalkan penjarakan sosial, mengelakkan tempat yang sesak, pakai topeng muka dan jaga kebersihan diri.

"Kita hanya boleh sahkan sebagai berisiko rendah selepas 28 hari tanpa jangkitan tempatan,” katanya di taklimat harian Covid-19 hari ini.

Iklan

Sehingga kini, Thailand mencatatkan 3,112 kes Covid-19 dan 58 kematian sejak penularannya pada Januari.

CCSA memperkenalkan garis panduan untuk mengurangkan sekatan terhadap perniagaan berisiko tinggi dan venue seperti pusat jagaan harian dan pusat hiburan di bawah pelonggaran fasa keempat.

Iklan

Sementara itu, Pihak Berkuasa Penerbangan Thailand (CAAT) mengumumkan tujuh lagi lapangan terbang di negara itu dibuka untuk penerbangan, bermula semalam.

Tujuh lapangan terbang itu ialah Tak, Trant, Nakhon Ratchasima, Naratiwat, Pai, Phetchabun dan Sukhothai.

"Tiada penerbangan membawa penumpang antarabangsa di kesemua (tujuh) lapangan terbang ini,” kata Ketua Pengarah CAAT, Chula Sukmanop.

Sehingga kini, keseluruhannya 35 lapangan terbang beroperasi di negara itu bagi penerbangan domestik.

CAAT menyambung larangan terhadap ketibaan penumpang antarabangsa hingga 30 Jun bagi mengelakkan penularan Covid-19.

Bagaimanapun larangan itu tidak dikenakan terhadap penerbangan kerajaan atau tentera, pendaratan kecemasan, pendaratan teknikal tanpa menurunkan penumpang, kemanusiaan, perubatan atau bantuan, penerbangan pulang dan kargo. - Bernama