Teruskan normal baharu dalam PKPP

Iklan
Gambar hiasan -Foto Bernama

SHAH ALAM - Walaupun kerajaan memberikan banyak kelonggaran menerusi Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) yang bermula Rabu ini sehingga 31 Ogos depan, rakyat Malaysia perlu kekal mengamalkan kebiasaan baharu yang dipraktikkan sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Pakar Kesihatan Awam (Epidemiologi/ Biostatistik) Jabatan Mikrobiologi dan Parasitologi Perubatan Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, Universiti Putra Malaysia, Profesor Madya Dr Malina Osman berkata, orang ramai tidak seharusnya cepat berasa selesa dengan kelonggaran tersebut sehingga melupakan normal baharu yang dilaksanakan sejak 18 Mac lalu.

Iklan
Iklan

Menurutnya, aspek pencegahan seperti sentiasa membersihkan tangan, menggunakan topeng muka, mengamalkan penjarakkan sosial dan mengelakkan kawasan tumpuan ramai perlu diteruskan.

"Sehingga sekarang vaksin bagi Covid-19 masih belum ditemui dan selagi itu kita perlu melaksanakan amalan pencegahan ini,” katanya kepada Sinar Harian di sini semalam.

Iklan

Beliau berkata, berdasarkan teras ketujuh PKPP sebagaimana diumumkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkaitan Perlindungan Golongan Berisiko, rakyat perlu memastikan kumpulan tersebut sentiasa dalam keadaan selamat."Perdana Menteri telah maklumkan bahawa mulai 10 Jun ini, perjalanan rentas sempadan negeri telah dibenarkan dan saya fikir ramai yang akan pulang ke kampung halaman untuk bertemu ibu bapa serta ahli keluarga.

"Saya harap orang ramai sentiasa mengamalkan langkah pencegahan. Pastikan kita benar-benar bersih dan fikir dahulu sebelum kita memeluk atau mencium pipi mereka kerana kita sekarang berada dalam normal baharu,” katanya.

Iklan

Beliau bagaimanapun yakin rakyat negara ini mampu meneruskan komitmen mereka untuk memastikan penularan Covid-19 dapat dicegah tanpa menyingkirkan mana-mana amalan pencegahan.

"Saya juga ingin menyampaikan penghargaan kepada anak muda kerana mereka semua bersama dengan kerajaan dalam memastikan penularan Covid-19 dapat dibendung.

"Kalau kita lihat di negara-negara lain seperti Brazil, angka jangkitan dan kematian mereka amat menggerunkan,” katanya.