Status Liga-M cetus tanda tanya

Iklan
Saingan Liga-M ditangguhkan sejak 16 Mac lalu akibat Covid-19.

KEBENARAN kepada pasukan Liga Malaysia (Liga-M) untuk memulakan latihan bagi menghadapi saingan liga September depan terus menjadi tanda tanya.

Ia susulan kenyataan kerajaan yang membenarkan beberapa sesi latihan acara sukan tanpa menyentuh status sukan bola sepak sama ada terlibat dengan kelonggaran tersebut.

Iklan
Iklan

Pengurus Selangor, Mahfizul Rusydin berkata, Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) masih menunggu kepastian sama ada latihan sudah boleh dimulakan pada Rabu ini.

"Tarikh kuatkuasa membenarkan latihan dikhabarkan pada 10 Jun, namun butiran Prosedur Operasi Standard (SOP) masih belum dinyatakan secara jelas. Kalau SOP biasa itu kita dah tahu macam jaga penjarakkan, kena ambil suhu dan sebagainya.

Iklan

"SOP lebih terperinci daripada Majlis Keselamatan Negara dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ini masih belum dinyatakan. Jadi kita tunggu dulu.

"Penjelasan daripada pihak berwajib juga diharapkan supaya pasukan tidak keliru sama ada latihan boleh dijalankan atau tidak dalam masa sama memastikan semua pihak yang terlibat dengan latihan selamat,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Iklan

Terdahulu, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, beberapa jenis sukan dan rekreasi akan dibuka semula dengan pematuhan kepada SOP termasuk latihan persediaan pasukan, permainan sukan, aktiviti sukan tidak melibatkan sentuhan badan seperti boling, badminton, memanah, menembak dan lain-lain.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dijangka mengumumkan perincian SOP membabitkan aktiviti sukan dalam sidang media, hari ini.

Sebelum ini, Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) telah mengemukakan permohonan melalui Kementerian Belia dan Sukan (KBS) meminta kebenaran agar latihan membabitkan pasukan Liga-M boleh diadakan selepas Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) berakhir.

Kata Mahfizul, Gergasi Merah bersedia mematuhi sebarang SOP diwajibkan sepanjang sesi latihan tersebut.

Dalam pada itu, beliau juga berterima kasih kepada kerajaan membenarkan perjalanan rentas negeri bagi membolehkan pemain yang sebelum ini berada di kampung kembali ke Selangor untuk menyambung sesi latihan.

"Kita menyambut baik pelaksanaan PKPP dan membuktikan perancangan kerajaan memutuskan rantaian Covid-19 di negara ini membuahkan hasil,” katanya.