ROMPIN - Pejabat Hutan Daerah (PHD) Rompin berjaya mengesan dan mematahkan kegiatan melombong emas secara haram di Komparment 219 Hutan Simpan Ibam, di sini kelmarin.
Pegawai PHD Rompin, Shairani Mamat berkata, pihaknya melakukan serbuan di lokasi selepas menerima aduan orang awam yang curiga dengan aktiviti itu.
Menurutnya, kegiatan itu dipercayai dilakukan beberapa individu berhampiran tapak lombong emas berlesen yang diusahakan Perbadanan Kemajuan Negeri Pahang (PKNP).
"Hasil serbuan itu, kita menemui dan merampas enjin pam air yang digunakan untuk aktiviti tersebut.
"Kita percaya kegiatan ini dilakukan baru beberapa hari lalu yang didalangi dua atau tiga individu namun tiada tangkapan dibuat kerana pelombong haram ini berjaya melarikan diri selepas mengesan kehadiran pihak berkuasa,” katanya.
Shairani berkata, pihaknya percaya pelombong haram itu mengambil peluang ekoran harga emas yang tinggi ketika ini.
"Hutan Simpan Ibam terkenal dengan galian emas dan sentiasa menjadi tumpuan pihak tidak bertanggungjawab melakukan aktiviti melombong secara haram," katanya.
Beliau berkata, sepanjang tahun ini pihaknya berjaya mengesan tiga kes lombong haram di kawasan hutan simpan itu dan tiga individu sudah dihadapkan ke mahkamah.
"PHD Rompin akan terus berusaha mengesan kegiatan haram membabitkan aktiviti lombong haram dan memindahkan hasil hutan tanpa permit dalam kawasan Hutan Simpan Ibam.
"Individu yang ditahan atas kesalahan ini berdepan hukuman mengikut Akta Perhutanan Negara 1984,” katanya.
Shairani berkata, pihaknya akan meneruskan rondaan bagi membendung kegiatan haram ini dan tidak akan bertolak ansur dengan mereka yang terlibat.
"Kerjasama masyarakat setempat untuk membuat aduan amat diperlukan dalam usaha memastikan kemusnahan hutan tidak berlaku yang boleh menjejaskan hasil kerajaan negeri," kata beliau.