Covid-19: Harga gunting rambut mungkin meningkat

Iklan
Pengurus Twin Dad and Barbershop Afif Wajdy (kanan) bersama pekerjanya Syuk Omar (kiri) melakukan demontrasi menggunting rambut memastikan penjarakan sosial antara pelanggan serta mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang telah ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM)- FOTO BERNAMA

KOTA BHARU - Harga perkhidmatan menggunting rambut di Kelantan mungkin meningkat antara RM5 hingga RM10 apabila kedai gunting beroperasi semula Rabu ini atas alasan pengusaha perlu menampung kos tambahan untuk mematuhi prosedur operasi standard (SOP) bagi mengelak penularan pandemik koronavirus (Covid-19).

Menurut Pengurus Twin Dad and Barbershop, Afif Wajdy Mustafa Afifi, 26, kenaikan harga itu juga telah dipersetujui oleh Persatuan Barber Kelantan yang bermesyuarat semalam.

Iklan
Iklan

"Kami tidak mempunyai pilihan kerana jika tidak menyediakan kelengkapan-kelengkapan seperti apron pakai buang untuk tukang gunting dan pelanggan, pelindung muka serta cecair pensanitasi tangan, kami tidak boleh beroperasi," katanya ketika ditemui Bernama di kedai tersebut di Telipot di sini, hari ini.

Katanya, susulan itu, pihaknya terpaksa menaikkan harga sebanyak RM5 bagi setiap pelanggan berbanding kadar praCovid-19 iaitu RM20 untuk orang dewasa dan RM15 bagi kanak-kanak.

Iklan

Selain itu katanya, pihaknya juga menghadapi kesukaran mendapatkan apron untuk kegunaan tukang gunting dan 'cutting cape' untuk pelanggan kerana permintaan terhadap kedua-dua barangan tersebut meningkat secara mendadak selepas pengumuman kerajaan membenarkan kedai gunting rambut beroperasi.

Afif Wajdy (kanan) bersama pekerjanya Syuk Omar membuat persediaan sebelum memulakan operasi pada Rabu. - Foto Bernama

"Tiada masalah bagi kami untuk mematuhi SOP yang ditetapkan oleh kerajaan namun dalam masa yang sama, kami berharap agar pelanggan dapat memahami kenapa harga gunting rambut meningkat," katanya.

Iklan

Seorang lagi pengusaha kedai gunting rambut, Shaidi Ismail, 36, dari Kampung Manal, Tanah Merah juga menyuarakan pandangan serupa.

"Saya tiada pilihan selain menaikkan harga menggunting rambut antara RM3 dan RM5 bagi setiap pelanggan kerana amat penting bagi saya mematuhi SOP tersebut dalam usaha membendung wabak Covid-19.

"Saya perlu mengambil kira berkenaan pematuhan SOP kerana pelanggan mungkin masih takut-takut untuk mendapatkan perkhidmatan," katanya.

Antara SOP di kedai gunting ialah golongan berumur 60 tahun ke atas wajib membuat janji temu, kanak-kanak berusia 12 tahun ke bawah perlu ditemani ibu bapa, tukang gunting perlu memakai alat pelindung muka, apron pakai buang dan set sarung tangan baharu bagi setiap pelanggan, tidak berkongsi tuala bagi setiap pelanggan serta jarak satu kerusi tukang gunting perlu sekurang-kurangnya dua meter. - Bernama