KUALA LUMPUR - Rakaman video sorakan kegembiraan dari petugas barisan hadapan sebaik pengumuman Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) wabak koronavirus (Covid-19) oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam tular di laman sosial.
Video dimuat naik Twitter @anas_cik dengan ciapan,"Tahniah warga Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan semua frontliner Malaysia, aku sebagai rakyat Malaysia bangga" dan sehingga kini video tersebut ditonton lebih 205,000 tontonan dari netizen.
@anas_cik juga memberitahu, video tersebut diperoleh dari Instagram rakannya, kuchikuchikhan.
Pada hantaran sama, @anas_cik juga mengucapkan ribuan terima kasih kepada sahabat itu dan berasa bangga kerana rakannya salah seorang dari frontliner yang bertungkus-lumus mengekang wabak Covid-19.
Dalam pada itu, kata netizen dikenali @kayretisz, mereka memang selayaknya merasai kegembiraan setelah tiga bulan menangani wabak Covid-19.
Malah @abeshinzuu berkata, kegembiraan dizahirkan kerana jumlah kematian semakin berkurangan.
"Mungkin gembira kerana kes kematian dapat dikurangkan. Penat lelah mereka dibayar dan tambah pula dengan pengumuman PM semalam, ia seperti satu penghargaan buat mereka sebagai hero negara.
"Mereka juga kerja siang malam, tak boleh jumpa anak, pakai pakaian khas yang panas gila tu. Jadi, untuk capai sifar atau minimum Covid-19 itu memang perkara gembira. Kita pun tumpang gembira dan terharu," katanya.