PENJAGA gol Real Madrid, Thibaut Courtois beranggapan pasukan Los Blancos itu pemain seperti Eden Hazard untuk terus mencabar dalam perebutan takhta La Liga.
Menurut Courtois, Hazard hanya sempat mempuat 15 penampilan dalam saingan La Liga setakat ini berikutan masalah kecederaan buku lali selain masalah kecergasan setibanya dari Chelsea, awal musim.
Bagaimanapun katanya, penangguhan saingan La Liga selama hampir tiga bulan sebelum ini berikutan pandemik Covid-19 telah dimanfaatkan oleh bintang Belgium berusia 29 tahun itu untuk pulih sebelum kembali beraksi.
"Hazard dalam keadaan baik. Semangat yang dimilikinya memang menakjubkan. Bagaimanapun, kita tidak boleh terlalu mengharapkan dia berada pada kemuncak prestasi tanpa beraksi.
"Saya rasa, dia (Hazard) sudah pun bersedia dan kita memang perlukan dia untuk bersaing dalam perebutan takhta La Liga kelak," katanya.
Untuk rekod, Madrid hanya mencatat kemenangan sekali daripada empat perlawanan terakhir mereka musim ini sebelum saingan La Liga ditangguhkan akibat pandemik Covid-19, Mac lalu.
Madrid kini ketinggalan dua mata di belakang pendahulu carta La Liga, Barcelona.
Selain itu, Real Madrid juga difahamkan akan menggunakan gelanggang latihan, Estadio Alfredo Di Stefano sebagai gelanggang tuan rumah di sepanjang baki saingan La Liga musim ini berikutan kerja-kerja baik pulih di Santiago Bernabeu.
Sementara itu Curtois berkata, biarpun terpaksa beraksi tanpa kehadiran penyokong, namun kesebelasan pemain dilihat sudah tidak sabar untuk beraksi.
Katanya, keadaan juga pastinya berbeza berbanding perlawanan sebelum ini yang berlangsung meriah dengan kehadiran penonton.
"Saya telah bersedia untuk beraksi semula dan ia satu penghormatan untuk beraksi di stadium yang dinamakan mengikut nama seorang pemain lagenda Madrid.
"Kami (pemain) tidak dapat menunggu saingan La Liga bermula. Kita kena perlu mulakan 'perjuangan' untuk memenanginya," katanya.