BALI - Seorang warganegara England terjatuh dalam telaga atau takungan berisi air lalu terperangkap selama enam hari, gara-gara dikejar anjing dalam kejadian di Pecatu di sini.
Ketika kejadian, Robert Jacob Matthew, 29, dikatakan sedang mahu pulang ke penginapannya di Pecatu, lapor Detik News.
Ketua Badan Nasional Pencarian dan Pertolongan (Basarnas) Bali, Gede Darmada berkata, kronologi awal kejadian itu, semasa mangsa melalui jalan menuju penginapannya, dia dikejar seekor anjing.
"Untuk menyelamatkan diri, dia terjatuh ke dalam takungan air milik penduduk sedalam 5 meter. Ekoran kedudukan takungan air itu agak jauh dari rumah penduduk, jeritan mangsa tak didengari.
"Bagaimanapun, kebetulan penduduk sedang mencari makanan haiwan terdengar jeritan mangsa kira-kira 500 meter," katanya.
Menurutnya, penduduk tidak berani membantu kerana melihat keadaan mangsa yang parah.
"Mereka hubungi Basarnas dan berjaya menyelamatkan mangsa serta dibawa ke hospital," katanya.