Sempat beli susu anak sebelum maut terjunam sungai

Iklan
Anggota keselamatan bertungkus-lumus menaikkan kereta dan mangsa selepas menerima maklumat daripada orang awam malam semalam. -Foto: Ihsan JBPM Kedah

JITRA - Allahyarham Koperal Mohd Shukral Hilmi Muhammad,31, sempat membeli susu untuk anaknya sebelum ditemukan maut dalam kereta miliknya yang dipercayai terjunam ke dalam sungai di Kampung Lana Bulu, Megat Dewa lebih seminggu lalu.

Menurut adik ipar mangsa, Nor Azirah Saidon,23, kali terakhir isteri mangsa, Noor Hidayah Saidon,31, bertemu arwah suaminya adalah pada 29 Mei lalu sebelum mayatnya ditemui malam semalam.

Iklan
Iklan

"Kakak saya masih bersedih, namun keadaannya stabil. Kakak ada maklumkan, Allahyarham beritahu perlu masuk kerja pada jam 4 petang, sebelum itu arwah sempat beli susu untuk anaknya,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini hari ini.

Nor Azirah berkata, kakaknya sempat menelefon suaminya itu sekitar jam 9 malam dan dimaklumkan sedang bertugas di Ibu Pejabat Polis (IPD) Kota Setar.

Iklan

"Arwah petugas barisan hadapan dan merupakan Penolong Ketua Seksyen Pemandu, pasukan 6 RAMD dan tinggal di kuarters Kem Tok Jalai. Ketika itu, arwah terlibat dalam operasi sekatan jalan raya,” katanya.

Menurutnya, keesokan paginya, seorang anggota 6 RAMD telah ke rumah mangsa kerana tidak hadir bertugas.

Kereta milik mangsa berjaya dikeluarkan dari dalam sungai malam tadi selepas terbabas dipercayai lebih seminggu lalu. -Foto: Ihsan JBPM Kedah

Iklan

"Kakak saya maklumkan kepada anggota berkenaan yang suaminya tidak balik ke rumah sejak malam arwah bertugas. Selepas 24 jam, keluarga membuat satu laporan polis kehilangan arwah di IPD Kubang Pasu,” katanya.

Allahyarham yang turut memiliki seorang lagi anak berusia 9 tahun dikebumikan di tanah perkuburan Islam Langgar lewat petang ini.

Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintendan Mohd Ismail Ibrahim mengesahkan kejadian berhubung penemuan dua mayat ditemukan dalam kereta berkenaan yang berjaya dikeluarkan malam tadi.

Menurutnya, pihaknya menerima maklumat daripada orang awam pada jam 8.30 malam yang ternampak seakan-akan tayar kereta dalam sungai terbabit.

"Hasil siasatan menemui sebuah kereta jenis Proton Saga FLX berwarna merah hati disyaki terbabas ke dalam sungai. Turut ditemui satu mayat lelaki dan satu mayat wanita yang identitinya belum dikenal pasti,” katanya.

Mohd Ismail berkata, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) mengambil masa hampir tiga jam mengeluarkan kedua-dua mayat sebelum dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar untuk bedah siasat.

"Berdasarkan keadaan kereta mangsa, bonet hadapan kemek, bumper hadapan dan cermin belakang pecah, manakala pintu depan sebelah kanan kemek selain cermin tingkapnya pecah,” katanya.

Sementara itu, Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, JBPM Kedah, Penguasa Kanan Bomba I Mohamadul Ehsan Mohd Zain berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 9.37 malam sebelum tiba kira-kira 20 minit kemudian.

"Anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jitra bersama Pasukan Bomba Sukarela menaikkan kereta berkenaan menggunakan cara menunda. Mayat pertama berjaya dikeluarkan pada jam 12.45 tengah malam manakala mayat kedua pada jam 1.20 pagi sebelum diserahkan kepada polis," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Dua maut kereta terjunam dalam sungai