KUALA LUMPUR - Kementerian Kesihatan dan Kementerian Dalam Negeri telah melaksanakan tugas yang amat baik sehingga kini dari segi pertimbangan kemandirian (survival) ekonomi dan kesihatan awam, kata Tan Sri Lee Lam Thye.
Pengerusi Perikatan Komuniti Selamat (Ikatan) itu berkata, kejayaan meratakan lengkungan pandemik koronavirus (Covid-19) dalam negara, perlu disusuli dengan usaha menjadikan normal baharu sebagai satu budaya dan cara hidup.
Beliau berkata, selaras dengan kebenaran merentasi sempadan di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) nanti, rakyat Malaysia digalakkan untuk melancong dalam negara, tanpa mengenepikan amalan normal baharu untuk keselamatan diri dan orang ramai.
Selain itu, beliau turut menekankan kepentingan para ibu bapa di masa hadapan untuk menimbang dengan serius kesan jangka panjang aspek pendidikan anak-anak di bawah normal baharu.
"Kerajaan juga perlu menyediakan sumber dan peruntukan yang mencukupi untuk membekalkan sokongan psikologi kepada mereka yang memerlukan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Sementara itu, Lam Thye berkata, pelaksanaan PKPP Rabu ini bukanlah satu jaminan bahawa negara telah bebas sepenuhnya daripada wabak itu dan semua pihak bertanggungjawab mengekalkan garis panduan yang ditetapkan Kementerian Kesihatan dipatuhi, bagi mengelak kebangkitan gelombang Covid-19 berikutnya sebagaimana yang dialami sesetengah negara luar.
"Jangan silap, kemungkinan gelombang baharu adalah benar. Dalam satu komuniti, tidak mungkin ujian dapat dijalankan terhadap setiap individu dan ada sesetengah individu adalah asimptomatik.
"Ini bermakna ada kemungkinan masih terdapat pembawa jangkitan penyakit itu di kalangan kita yang masih belum diasingkan,” katanya. - Bernama