293,033 permohonan Program Subsidi Upah dilulus setakat semalam

Iklan

KUALA LUMPUR - Sebanyak 293,033 permohonan Program Subsidi Upah (PSU) telah diluluskan melibatkan peruntukan berjumlah RM4.03 bilion setakat semalam, kata Ketua Eksekutif Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso), Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed.

Beliau berkata, jumlah itu membabitkan 2.2 juta pekerja dan majoriti majikan yang membuat permohonan adalah dalam kalangan perusahaan mikro serta industri kecil dan sederhana.

Iklan
Iklan

"Untuk tempoh satu bulan pertama sejak ia diperkenalkan pada 1 April lepas, Perkeso telah menerima 248,216 permohonan daripada majikan yang mana merangkumi 1.98 juta pekerja,” katanya ketika menjadi tetamu program Ruang Bicara terbitan Bernama TV di sini hari ini.

Dalam pada itu, menyambut baik inisiatif kerajaan melanjutkan PSU kepada tiga bulan lagi, beliau berkata syarikat atau perusahaan masih memerlukan bantuan kewangan terutama perusahaan kecil dan sederhana bagi membolehkan pengoperasian syarikat menjadi lebih stabil.

Iklan

"Oleh itu, mereka tidak akan mengambil langkah yang lebih drastik seperti melakukan pemberhentian pekerja,” katanya.

Sementara itu, mengulas mengenai usaha penaiktarafan portal pekerjaan Perkeso yang turut diumumkan dalam Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana) bagi memperkasakan rakyat, beliau berkata, semua pihak layak memohon pekerjaan dalam portal itu secara percuma dan akan turut dibantu dari segi pencarian kerja dan latihan.

Iklan

"Portal ini telah lama diwujudkan untuk membantu mereka yang hilang pekerjaan di bawah Sistem Insurans Pekerjaan (SIP) tetapi kita naik taraf bukan hanya kepada pencarum atau mereka yang tertakluk kepada SIP tetapi diperluaskan kepada siswazah tamat belajar, penganggur dan sebagainya

Bagi mereka yang berada di kawasan yang kurang capaian internet pula, tak perlu risau, mereka hanya perlu ke Pusat Internet Desa (PID) di kawasan mereka, dan pengendali di PID yang telah dilatih Perkeso akan membantu mereka menggunakan portal berkenaan,” katanya.

Menjawab kegusaran orang ramai mengenai kerjasama platform portal itu dengan portal swasta dalam usaha menaik taraf portal pekerjaan yang mungkin mewujudkan pertindihan, beliau berkata, tidak timbul isu berkenaan memandangkan fokus Perkeso hanya untuk membantu majikan mencari pekerja dan pencari kerja mendapatkan pekerjaan.

Pada 5 Jun lalu, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan Penjana bertemakan ‘Bersama Menjana Ekonomi’ merangkumi 40 inisiatif bernilai RM35 bilion yang memberi tumpuan kepada memperkasakan rakyat, merancakkan perniagaan dan merangsang ekonomi dengan RM10 bilion merupakan suntikan fiskal langsung.

Antara inisiatif lain di bawah Penjana itu yang turut dipertanggungjawabkan kepada Perkeso termasuklah melaksanakan program insentif pengambilan pekerja dan bantuan latihan, perlindungan sosial dan latihan bagi pekerja ekonomi gig dan insentif pengaturan kerja fleksibel. - Bernama