Manifestasi tumbangnya patung pedagang hamba abdi di Britain

Iklan
Patung Edaward Colston dihumban ke dalam sungai oleh para penunjuk perasaan ketidakadilan kaum di Bristol pada Ahad lalu. - Foto AFP

RUNTUHNYA patung pedagang hamba abdi, Edward Colston di Bristol barat daya Briitain pada Ahad lalu memberikan isyarat bahawa rakyat semakin marah terhadap isu- isu kezaliman dan layanan tidak adil pihak berkuasa terhadap sesuatu kaum.

Ia tumbang pada hari kedua tunjuk perasaan yang menentang kezaliman seorang pegawai polis berkulit putih terhadap lelaki kulit hitam, George Floyd, 46, sehingga membawa kematiannya pada 25 Mei lalu di Amerika Syarikat (AS).

Iklan
Iklan

Akibat perasaan marah yang tidak dapat dibendung lagi, muka patung itu juga disimbah dengan cat berwarna merah. Ia turut diruntuhkan dengan menggunakan tali yang diikat pada bahagian leher patung tersebut sebelum dibawa oleh para penunjuk perasaan ke dermaga pelabuhan serta dihumban ke sungai dengan perasaan penuh kegembiraan di Bristol, Britain.

Warna merah melambangkan darah dan sering dijadikan pilihan bendera-bendera negara di dunia. Ia juga menggambarkan semangat perjuangan rakyat tempatan untuk mencapai kemerdekaan daripada para penjajah.

Iklan

Imej-imej di media sosial menunjukkan para penunjuk perasaan kelihatan melutut pada leher patung tersebut selama lapan minit sebelum ia dihumban ke dalam sungai.

Tindakan itu dibuat bagi mengimbas perbuatan seorang pegawai polis berkulit putih yang mengepit lutut ke atas Floyd sehingga dia tidak mampu bernafas dan meninggal dunia di sebuah hospital di Minneapolis, AS.

Iklan

"Hari ini saya menyaksikan satu sejarah. Patung Edward Colston iaitu seorang pedagang hamba telah diruntuhkan, dicacatkan dan dihumbankan ke dalam sungai," kata seorang saksi kejadian, William Want menerusi Twitter.

Patung itu kini menjadi terkenal di seluruh dunia sama seperti Floyd yang mati selepas ditahan kerana membeli rokok dengan menggunakan wang palsu AS$20 (RM85) di Minneapolis.

Bagaimanapun, Setiausaha Dalam Negeri Britain, Prit Patel menganggap perbuatan meruntuhkan patung tersebut sebagai mengaibkan dan pihak polis di bandar raya Bristol berjanji untuk melaksanakan siasatan berhubung isu tersebut.

"Ia merupakan perbuatan yang tidak dapat diterima dan kita bercakap tentang vandalisme sekali lagi sama seperti kita lihat di London (pada Sabtu lalu)," kata Patel kepada Sky News sebelum ini.

Polis London dilaporkan membuat tangkapan terhadap 29 orang ketika protes Black Lives Matter bagi membantah ketidakadilan terhadap Floyd.

Dalam kejadian itu, anggota-anggota polis turut bergelut dengan para penunjuk perasaan yang melindungi daerah pentadbiran kerajaan di sekitar Downing Street, London.

Kombinasi gambar menunjukan detik-detik patung Edward Colston diruntuhkan di Bristol pada Ahad lalu. - Foto AFP

Namun, Datuk Bandar Bristol, Marvin Rees mempunyai nada yang lebih lembut berbanding Patel.

"Saya tahu perpindahan patung Colston akan memberikan pandangan yang berbeza ketika ia telah berdiri selama bertahun-tahun," katanya dalam satu kenyataan.

"Bagaimanapun, adalah penting untuk mendengar kepada mereka yang mendapati patung tersebut mewakili satu penghinaan kepada kemanusiaan," tambahnya.

Ketua polis tempatan, Andy Bennett berkata, kira-kira 10,000 orang menghadiri tunjuk perasaan Black Lives Matter di Bristol pada Ahad lalu.

"Majoriti mereka yang datang adalah untuk menyuarakan tentang ketidaksamaan dan ketidakadilan perkauman serta melakukan protest tersebut secara aman dan terhormat," kata ketua polis tersebut.

Namun, terdapat sekumpulan kecil orang yang didakwa melakukan jenayah kerosakan dengan meruntuhkan patung tersebut dekat dermaga Bristol.

Patung gangsa seringgi 5.5 meter berdiri di Colston Avenue, Bristol sejak tahun 1895.

Nama Colston juga digunakan pada sebuah sekolah sebagai penghormatan terhadapnya.

Akhbar Guardian berkata, terdapat petisyen untuk mengubah lokasi patung itu yang telah mendapat 11,000 tandatangan.

Wakil rakyat pembangkang daripada parti Buruh United Kingdom, Clive Lewis menyambut baik runtuhnya patung itu.

"Bagus," kata kenyataan Lewis di Twitter.

Dalam pada itu, Colston dilahirkan dalam keluarga perdagangan yang kaya dan menyertai Syarikat Afrika Diraja pada tahun 1680 yang mempunyai monopoli perdagangan hamba.

Syarikat itu diketuai oleh adinda Raja Charles II yang kemudian mengambil alih tampuk pemerintahan Britain. Baginda memakai gelaran James II.

Pihak syarikat tersebut memberi label RAC kepada hamba-hambanya termasuk kanak-kanak dan wanita pada bahagian dada mereka.

Adalah dipercayai ia telah menjual kira-kira 100,000 hamba Afrika Barat dan Amerika antara tahun 1672 hingga 1689.

Colston kemudian membina reputasi sebagai ahli dermawan yang memberi sumbangan untuk tujuan kebajikan seperti pembinaan sekolah dan hospital di Bristol serta London.

Semasa hidupnya, dia menyumbangkan banyak wang kepada pertubuhan kebajikan sehingga namanya diabadikan di sekolah-sekolah serta institusi ekonomi.

Justeru, tumbangnya patung itu membawa makna yang besar. Ini kerana Colston juga dianggap sebagai simbol layanan tidak adil terhadap penduduk berkulit hitam.