PERGOLAKAN politik yang berlaku melibatkan Perikatan Nasional (PN) di peringkat Persekutuan turut terkena tempiasnya ke negeri Johor.
Gambaran ura-ura pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor mula dibayangkan berlaku berikutan timbul desas-desus mengenai beberapa ADUN Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Johor akan beralih arah.
Sejauh mana kebenarannya masih sukar dipastikan kerana setakat ini 11 ADUN Bersatu belum membuat pengesahan melompat parti. Namun, seandainya perkara ini terjadi ia pasti membawa impak politik baharu di Johor memandangkan kerusi dimiliki PN berjumlah 29 dan Pakatan Harapan (PH) pula memiliki 27 kerusi.
Ikuti temu bual eksklusif Sinar Harian bersama Speaker DUN Johor, Suhaizan Kaiat mengenai kemelut kuasa di Johor dan amaran Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar mengenai pembubaran DUN sekiranya perebutan kuasa belum bertitik noktah. Suhaizan juga merupakan Naib Pengerusi Amanah Johor.
SINAR HARIAN: Apakah yang dimaksudkan dengan kuasa Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor?
SUHAIZAN: DUN ialah tempat di mana ahli-ahli dewan yang dipilih rakyat melalui pilihan raya mengadakan mesyuarat. Ada 56 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan mesyuarat dipengerusikan oleh seorang Speaker.
Sejak beberapa hari lalu timbul desas-desus politik mengenai perebutan kuasa di Johor dan kemungkinan pembubaran DUN. Apakah Undang-undang Tubuh Negeri Johor meletakkan kuasa pembubaran di bawah kuasa DUN atau sebaliknya?
Kuasa membubarkan DUN Johor adalah terletak pada Sultan Johor atas nasihat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri ataupun salah seorang yang diberi amanah oleh kerajaan negeri.
Jadi dengan nasihat itu Tuanku boleh membuat keputusan mengikut kebijaksanaan untuk membubarkan DUN. Bagaimanapun, Tuanku ada hak untuk tangguhkan sebarang nasihat untuk membubarkan DUN itu. Kalau ditanya, siapa yang berhak, maksudnya mesti kedua-dua itu bersetuju untuk bubar DUN. Satu Tuanku dan yang keduanya ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri. Itu satu, yang keduanya apabila tamat tempoh lima tahun ia terbubar dengan sendirinya. Ada dua keadaan kes pembubaran.
Adakah Johor mempunyai pengalaman pembubaran DUN sebelum tamat tempoh lima tahun?
Setakat ini saya tidak menghadapi pengalaman pembubaran seumpama itu. Saya pun kali pertama (menjadi Speaker), tapi ikut pengalaman lepas-lepas biasanya di Johor dibubarkan sekali dengan Pusat.
Maksudnya tidak pernah berlaku DUN dibubarkan secara berasingan dengan peringkat Pusat?
Ya. Dalam Undang-undang Tubuh Negeri Johor ada dinyatakan apabila Menteri Besar hilang kepercayaan dalam DUN, hilang kepercayaan terhadap ahli-ahli dewan maka di situ ada dua pilihan yang boleh dibuat oleh Menteri Besar.
Pertama, Menteri Besar meletakkan jawatan, yang kedua Menteri Besar boleh nasihatkan Tuanku untuk bubarkan DUN. Jadi isunya di situ adalah majoriti. Maknanya sama ada hilang majoriti atau tidak. Kalau hilang majoriti, ada undang-undang sedia ada memperuntukkan kepada Menteri Besar untuk bertindak.
Jika ada usul hilang majoriti, adakah ia perlu dibincang dalam sidang DUN?
Dalam hal itu, DUN boleh sahkan perkara tersebut, maknanya dalam dewan ada legitimasi Menteri Besar hilang sokongan. Tetapi dalam kes di Perak umpamanya, kes hilang majoriti berlaku di luar dewan. Maknanya kes Menteri Besar hilang majoriti itu juga boleh dibuat di luar dewan. Jadi maknanya pertukaran tidak melibatkan sidang DUN seperti kes di Perak.
Adakah kemungkinan apa yang berlaku di Perak boleh berlaku di Johor?
Boleh jika salah satu pihak itu mendapat satu sokongan yang lebih dan Menteri Besar tidak mendapat sokongan mencukupi. Itu atas kebijaksanaan Tuanku untuk melihat situasi pada waktu berkenaan.
Melihat kepada situasi sekarang, sudah tiga kali Johor bertukar Menteri Besar dan dua kali bertukar kerajaan selepas Pilihan Raya Umum ke-14 pada Mei 2018. Bagaimana Speaker melihat situasi kali ini?
Sebagai Speaker, saya tidak ada hak untuk tentukan perkara tersebut. Ia bergantung kepada pihak PH atau PN untuk tentukan. Umpamanya, kalau PN rasa ia mendapat majoriti yang lebih, atau PH juga rasa dia juga ada majoriti, maka PH atau PN boleh kemukakan pandangan itu mungkin dalam bentuk Akaun Bersumpah kepada Tuanku.
Kalau kita lihat di negeri Melaka dan Perak baru-baru ini mereka telah tukar kerajaan dan mereka bertukar Speaker. Tetapi menariknya di Johor dan di Pusat, seolah-olah Speaker yang datang daripada parti Amanah masih kekal. Apa pendapat Speaker?
Pelantikan Speaker dibuat di dalam dewan, jadi pelucutan jawatan Speaker kalau hendak dilucutkan juga mesti dalam dewan.
Jadi (harus ada) satu rundingan yang dikemukakan ahli dewan untuk usul tidak percaya kepada Speaker. Rundingan ini boleh dibuat di dalam dewan. Tapi dalam persidangan DUN Johor ke-14 baru-baru ini, pihak kerajaan sendiri ingin melaksanakan perasmian sahaja pada waktu itu dan tidak ada sebarang rundingan dibuat, maka tidak ada pertukaran Speaker.
Apakah cabaran Speaker ketika ini untuk mengekalkan dan menjalankan tugas mempengerusikan DUN Johor? Adakah Speaker berdepan masalah memandangkan Speaker daripada PH dan yang mentadbir negeri Johor kini pula kerajaan PN?
Bagi saya tidak ada masalah, sebab semua pihak Alhamdulilah bekerjasama. Sama ada pihak pembangkang atau kerajaan bersama-sama, termasuk dalam konteks pengisytiharan harta.
Kedua-dua pihak hantar seperti mana yang diputuskan dewan, bagi saya setakat ini tidak ada masalah.