Langgar lari: Seorang remaja maut

Iklan
Nur Aiman Aminuddin meninggal dunia dirempuh sebuah kenderaan ketika berkonvoi ke Cameron Highlands, hari ini.
IPOH - Polis sedang mengesan sebuah kereta yang terlibat dalam kes langgar lari membabitkan kematian seorang penunggang motosikal di Jalan Keramat Pulai berhampiran Kampung Orang Asli Pergom di sini, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira jam 6 petang itu , Nur Aiman Aminuddin Majurizizi, 17, yang berasal dari Batu 5, Tambun meninggal dunia di tempat kejadian dipercayai dirempuh kenderaan terbabit.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Mohd Ali Tamby berkata, kejadian itu turut disaksikan oleh seorang anggota polis berpangkat Lans Koperal yang turut berkonvoi bersama mangsa.

Menurutnya, anggota yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) negeri itu sedang menerima rawatan kerana cedera di bahagian kaki dan tangan.

"Siasatan awal mendapati mangsa yang menunggang motosikal jenis Honda EX5 dan anggota yang menunggang Yamaha 125Z sedang berkonvoi menuju ke Cameron Highlands.

"Apabila sampai ditempat kejadian, sebuah kereta yang tidak dapat dikenal pasti datang dari arah bertentangan telah masuk ke laluannya lalu bertembung dengan motosikal mangsa,” katanya.

Menurutnya, anggota polis berusia 23 tahun itu cuba mengelak ke kanan lalu terbabas menyebabkan dia dikejarkan ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh untuk menerima rawatan.

"Mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian dan bedah siasat sedang dijalankan bagi mengetahui punca sebenar kematian.

"Bagaimanapun, pemandu dan kenderaan yang terlibat tiada di lokasi kejadian. Semboyan hebahan telah dijalankan ke semua daerah bagi mengenal pasti kenderaan yang terlibat,” katanya.

Mohd Ali berkata, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.