SAMBUTAN Syawal kali ini ternyata mengubah norma masyarakat kerana perang memutuskan rantaian wabak koronavirus (Covid-19) memaksa kita menahan diri daripada melakukan amalan biasa terutamanya ziarah-menziarahi.
Pada saat masyarakat merasakan betapa sukarnya untuk membiasakan diri dengan normal baharu ini, persekitaran sama turut dihadapi oleh para petugas barisan hadapan khususnya anggota pasukan keselamatan.
Biarpun terpaksa menyambut lebaran dalam suasana berbeza, ia tidak melunturkan semangat mereka untuk menjalankan tugas.
Bagi pasukan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) pula, tanggungjawab mereka tidak terbatas ketika wabak Covid-19 melanda, malah melangkaui daripada itu.
Buktinya semangat anggota tentera kekal utuh. Alah bisa tegal biasa, ada
tanggungjawab lebih berat yang perlu dipikul iaitu amanah mengawal perbatasan negara termasuk di ruang udara dan samudera.
Di darat, misalnya, anggota ATM membuat rondaan di sempadan di kedua-dua perbatasan Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak.
Mereka melaksanakan tanggungjawab sama yang dipikul oleh wira-wira terdahulu khususnya semasa negara berhadapan dengan ancaman komunis.
Sebab itu, Panglima ATM, Jeneral Tan Sri Affendi Buang meninjau sendiri penugasan di lapangan sewaktu menyertai rondaan kapal perang Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), KD Jebat di Selat Melaka pada 3 Syawal lalu.
KD Jebat, frigat paling ampuh da¬lam aset maritim negara, sedang melakukan Operasi (Op) Benteng mengawasi perairan zon ekonomi eksklusif (ZEE) di sekitar selat tersebut.
Op Benteng diaktifkan di bawah Pasukan Petugas Kebangsaan (NTF) dengan ATM diberi mandat untuk menyelaras operasi kawalan persempadanan negara bersama-sama agensi penguatkuasaan dan keselamatan lain.
Ini termasuk pihak polis, Maritim Malaysia (APMM), Kementerian Kesihatan, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia, Jabatan Imigresen serta Jabatan Sukarelawan Malaysia.
Operasi itu adalah bagi mengawal ketat sempadan negara secara bersepadu daripada dibolosi pendatang asing tanpa izin (PATI) dan mengekang aktiviti jenayah rentas sempadan selain menyekat penularan Covid-19.
Selain itu, tumpuan utama dalam operasi bersepadu tersebut adalah untuk mengesan dan menahan tekong laut serta darat yang memainkan peranan dalam mengaturkan perjalanan keluar dan masuk PATI ke negara ini.
KD Jebat yang mempunyai keupayaan khusus dari segi sensor di atas kapal juga mampu melaksanakan pengawasan dalam mengekang bot-bot asing menghampiri perairan negara.
Tugas pengawasan itu turut menggunakan helikopter Super Lynx TLDM. Ia adalah helikopter tempur maritim, selain memikul tugas sebagai pemburu kapal selam menyebabkan helikopter itu digeruni.
Super Lynx dilengkapi sistem sensor dan radar jenis Seaspray yang mampu mengesan objek pada jarak sejauh 25 kilometer. Kehebatan helikopter itu ditonjolkan dalam filem Paskal.
Penggunaan Super Lynx berjaya menghindari bot PATI memasuki perairan Selat Melaka di samping mengelakkan cubaan pendaratan bot asing.
Sejak dilancarkan pada Mei lalu, sehingga kini seramai 393 PATI dan 72 tekong ditahan menerusi Op Benteng kerana cubaan memasuki sempadan negara secara haram terutama melalui lorong-lorong tikus.
Biarpun ada suara mempertikaikan tindakan pasukan keselamatan mengusir PATI semasa di lautan atas nama nilai kemanusiaan, namun aspek kedaulatan negara lebih diutamakan.
Ini kerana cubaan PATI untuk masuk secara haram adalah satu tindakan pencerobohan yang kesannya mendatangkan bahaya kepada rakyat jika tidak dibendung.
* Zaki Salleh ialah penganalisis pertahanan dan telah menulis dalam bidang ini sejak 20 tahun lalu