Menanti berita gembira untuk industri media

Iklan
Gambar hiasan -Foto 123rf

PADA 10 Mei lalu, Ketua Pegawai Eksekutif Malaysian Press Institute (MPI), Datuk Dr Chamil Wariya melalui tulisannya dalam akhbar Sinar Harian meminta supaya kerajaan membantu industri media tempatan.

Menurut beliau, media cetak dan online berada dalam keadaan yang tercungap-cungap untuk meneruskan kelangsungan bisnes.

Iklan
Iklan

Media cetak dibadai oleh kemunculan teknologi digital yang menyebabkan pendapatan pengiklanan dan penjualan produk bercetak merosot.

Keadaan semakin parah dengan kemunculan pandemik koronavirus (Covid-19) yang memaksa kerajaan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang memberi kesan ketara kepada bisnes syarikat akhbar.

Iklan

Pada 7 Jun lalu, Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Saifuddin Abdullah menjelaskan bahawa kerajaan sedang mengkaji beberapa cadangan untuk membantu media cetak.

Antaranya menimbangkan membenarkan pelanggan berita dalam talian menikmati insentif pengecualian cukai dan pengecualian cukai terhadap pengimportan bahan mencetak surat khabar.

Iklan

Saifuddin juga memberitahu, kementerian memantau langkah negara seperti Australia untuk mendorong syarikat teknologi seperti Facebook dan Google membayar penerbit berita untuk kandungan editorial yang mereka gunakan.

Tahun lalu menyaksikan satu sejarah hitam di Malaysia apabila ribuan pekerja yang terlibat dalam industri media terpaksa diberhentikan kerja apabila ada syarikat media bankrap.

Sekiranya kerajaan pada masa wabak Covid-19 boleh membantu industri lain seperti perhotelan, pengilangan, pertanian, hartanah dan automotif bagi memastikan mereka terus beroperasi, maka kerajaan juga perlu memikirkan untuk membantu industri media.

Kita amat berharap kerajaan dapat memperjuangkan nasib syarikat media yang selama ini berperanan besar kepada rakyat dan negara, yang berdasarkan kepada pengumuman bantuan ekonomi Covid-19 beberapa hari lalu tidak peruntukan secara langsung daripada kerajaan.

Pada ketika ini hanya media arus perdana yang menjadi benteng menangkis penyebaran berita palsu. Peranannya juga penting untuk negara dan wajar diselamatkan.