KKM pantau wabak Rabies di Sarawak

Iklan
Dr Dzulkefly Ahmad - Foto ASRIL ASWANDI SHUKOR

KUALA LIPIS - Kementerian Kesihatan akan terus memantau penularan wabak rabies di Sarawak berikutan terdapat kes baharu yang menyebabkan kematian, kata Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.

"Memang pemantauan secara berterusan akan sentiasa dijalankan agar wabak rabies tidak kembali merebak.

Iklan
Iklan

Pada setiap gigitan (gigitan anjing) itu kalau positif kami akan tangani dan kami akan rawat,” katanya kepada pemberita selepas lawatan kerja ke Klinik Kesihatan Sungai Koyan, di sini hari ini.

Pada Jumaat, seorang warga emas disahkan meninggal dunia akibat wabak rabies di Hospital Umum Sarawak (HUS).

Iklan

Lelaki berusia 80 tahun itu yang berasal dari Kampung Sungai Du'uh, Serian dikatakan mengalami demam pada 11 Januari sebelum dimasukkan ke HUS, tiga hari kemudian.

Kematian terbaharu itu menjadikan jumlah kematian akibat rabies dalam kalangan manusia di Sarawak ialah 16 kes sejak pengisytiharan wabak itu pada 1 Julai 2017.

Iklan

Sementara itu Dzulkefly yang juga Pengarah Strategi Amanah berkata jentera Amanah akan bekerja keras bersama-sama rakan parti komponen lain untuk memastikan kemenangan calon PH M. Manogaran pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Cameron Highlands.

"Itu tanggungjawab kami sebagai semangat PH, kami saling berganding bahu untuk memenangkan calon kami (Manogaran).

Apa pun kami tetap pasrah dengan keputusan dan kami akan lakukan yang terbaik,” katanya.

PRK itu diadakan selepas Mahkamah Pilihan Raya pada 30 November lepas mengisytiharkan kemenangan Datuk C. Sivarraajh daripada BN dalam PRU14 bagi Parlimen itu, terbatal dan tidak sah, menyaksikan pertandingan empat penjuru antara calon PH dan BN serta dua calon bebas.

Calon-calon berkenaan ialah Manogaran yang merupakan Timbalan Pengerusi DAP Pahang mewakili PH, pesara Polis Diraja Malaysia Ramli Mohd Nor mewakili BN dan dua calon bebas iaitu bekas pensyarah di Institut Aminuddin Baki, Sallehudin Ab Talib, 61, serta petani Wong Seng Yee, 40 tahun. - Bernama