14 penyelidik terima watikah perintis

Iklan
Prof Dr Noor Azizi (dua, kanan) menyempurnakan penyampaian watikah pelantikan program perintis UMK Rising Star kepada penyelidik muda di UMK Bachok.

BACHOK - Sejumlah 14 penyelidik muda dari Universiti Malaysia Kelantan (UMK) terdiri daripada pelbagai kepakaran dan bidang penyelidikan menerima watikah pelantikan bagi memulakan program perintis UMK Rising Star.

Naib Canselor UMK, Prof Datuk Ts Dr Noor Azizi Ismail berkata, kesemua mereka menerima geran penyelidikan sebanyak RM20,000 bagi bidang Sains dan Teknologi manakala RM10,000 bagi bidang Sains Sosial.

Iklan
Iklan

"Program ini ditawarkan kepada peserta selama setahun dalam usaha meningkatkan penemuan akademik khususnya dalam bidang penyelidikan, inovasi dan penerbitan impak tinggi.

"UMK Rising Star ini adalah inisiatif daripada Pejabat Timbalan Naib Canselor Penyelidikan & Inovasi (TNCPI) UMK dan dianjurkan Bahagian Penerbitan dan Penarafan (PRD) serta Pusat Pengurusan Penyelidikan dan Inovasi (RMIC) sebagai lonjakan untuk meningkatkan lagi kualiti dan kuantiti penyelidikan dan penerbitan di universiti,” katanya hari ini.

Iklan

Terdahulu, beliau dan Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi, Prof Ts Dr Arham Abdullah menyempurnakan Majlis Penyampaian Watikah itu di UMK Bachok.

Hadir sama Pengarah Kanan Pusat Pengurusan Penyelidikan dan Inovasi, Prof Ts Ir Dr Ahmad Ziad Sulaiman, Pengarah PRD, Dr Mohd Asrul Hery Ibrahim, Pengarah Bahagian Pengurusan Penyelidikan (RMD) ChM Dr Abdul Hafidz Yusoff dan Pengarah Bahagian Inovasi dan Pengkomersialan (ICD), Prof Madya Ir Dr Julie Juliewatty Mohamed.

Iklan
Kesemua 14 penyelidik muda menerima geran penyelidikan sebanyak RM20,000 bagi bidang Sains dan Teknologi manakala RM10,000 bagi bidang Sains Sosial bagi tempoh program selama setahun.

Prof Dr Noor Azizi berkata, UMK bukan sahaja memperuntukkan geran penyelidikan kepada pensyarah dan penyelidik malah mereka diberi peluang untuk mengasah bakat sekali gus mengembangkan penemuan kajian dalam bentuk penerbitan ilmiah yang berkualiti.

"Peluang ini juga akan memberi akses kepada staf akademik untuk menjadi seorang pemimpin akademik yang bereputasi iaitu perlu mempunyai rekod yang sangat baik dalam akademik, pengajaran dan pembelajaran, penyelidikan, inovasi, perundingan, khidmat masyarakat serta jaringan industri yang baik.

"Tambahan pula untuk melahirkan pemimpin akademik yang berjaya, staf akademik perlu memenuhi kriteria seperti berkelayakan, beramanah, rendah diri dan sentiasa berusaha ke arah lebih baik,” katanya.

Sementara itu, Prof Ts Dr Arham memberitahu, penerima UMK Rising Star perlu menepati kriteria-kriteria yang ditetapkan iaitu penerima berumur tidak lebih dari 40 tahun dan mempunyai sekurang-kurangnya Hirsch Index (H Index) tiga bagi bidang Sains dan Teknologi dan dua bagi bidang Sains Sosial.

"Selain itu juga, penyelidik muda ini perlu mempunyai atribut kepemimpinan yang baik dan juga perlu menghantar video ringkas berdurasi tiga hingga lima minit minit serta ringkasan resume untuk dinilai oleh panel yang dilantik.

"Inisiatif program ini adalah hasil perbincangan dengan Naib Canselor untuk melihat bagaimana UMK perlu ada perancangan penggantian (succession planning) menerusi bidang penyelidikan dan inovasi,” katanya.

Menurutnya, program itu juga sebahagian dari pembudayaan ekosistem RICE (Research, Innovation, Commercialization & Entreprises) yang diperkenalkan di UMK.

"UMK Rising Star adalah platform terbaik untuk mengasah bakat penyelidik muda di peringkat universiti, malahan mereka boleh menggunakan laluan ini untuk ke peringkat lebih tinggi seperti Anugerah Malaysia Rising Star Award (MRSA) yang diperkenalkan oleh Kementerian Pengajian Tinggi (KPT),” katanya.