151 Taska di Terengganu mula operasi hari ini

Iklan
Hanafiah (dua dari kanan) melihat kakitangan Taska Permata YPK melakukan nyahkuman di taska itu hari ini.

KUALA TERENGGANU – Selepas lebih tiga bulan ditutup berikutan arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), sebanyak 151 taman asuhan kanak-kanak (Taska) seluruh Terengganu akhirnya memulakan operasi hari ini.

Jumlah itu melibatkan 64 Taska Permata Keluarga kelolaan Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu (YPKT) manakala 87 lagi merupakan taska milik swasta yang berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Iklan
Iklan

Exco Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Hanafiah Mat berkata, kerajaan negeri membenarkan taska beroperasi semula hari ini mengikut peraturan dan prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.

"Taska Permata YPKT negeri ini ada 67 buah tapi hari ini hanya 64 dibuka kerana sebuah taska di Kuala Berang dan dua di Kuala Terengganu ada masalah teknikal, ia akan dibuka dalam masa terdekat.

Iklan

"Bagi taska swasta pula, daripada 130 buah hanya 87 yang memulakan operasi hari ini,” katanya ketika meninjau hari pertama operasi Taska Permata YPK di Jalan Sultan Omar di sini hari ini.

Menurut Hanafiah, seramai 4,400 kanak-kanak daripada 3,561 keluarga berdaftar dengan Taska Permata YPKT pada tahun ini namun beliau berkata, hanya 718 kanak-kanak diterima masuk hari ini dengan keutamaan diberikan kepada kanak-kanak tiada penjaga kerana ibu bapa perlu bekerja secara serentak dan petugas barisan hadapan.

Iklan

Hanafiah turut berpuas hati dengan pematuhan SOP ditetapkan dengan setiap perkakasan dinyahkuman dua kali sehari, mengambil suhu bayi, kanak-kanak dan ibu bapa, amalan penjarakkan sosial dan minimumkan aktiviti kanak-kanak.

"YPKT telah mengikuti semua arahan dan SOP yang ditetapkan oleh kerajaan dan telah membuat proses nyahkuman bermula 4 hingga 5 Jun lalu.

"Pasukan penguat kuasa JKM akan memantau operasi semua Taska negeri ini pada setiap hari bagi memastikan mereka mematuhi arahan dan sebarang perubahan akan dimaklumkan berdasarkan pengumuman terkini kerajaan,” katanya.