BINTANG Argentina, Paulo Dybala yang masih menunggu pembaharuan kontraknya bersama Juventus mengakui ia adalah sesuatu yang indah jika dapat beraksi bersama gergasi La Liga,Barcelona.
Pemain berusia 26 tahun itu berkata, biarpun menikmati musim yang baik bersama gergasi Serie A itu sebelum ia ditangguhkan akibat pandemik Covid-19 Mac lalu, dia telah pun dikaitkan dengan perpindahan dari Turin sejak tahun lalu.
Bagaimanapun menurut Dybala, dia telah pun membuat keputusan untuk melanjutkan perkhidmatannya bersama Juventus sehingga 2022."Yang sebenarnya, Barcelona adalah sebuah pasukan yang besar dan dengan kehadiran Messi (Lionel), menjadikannya lebih besar.
"Ia mungkin jadi satu perkara yang manis (beraksi dengan Barcelona), apatah lagi dapat beraksi bersama rakan senegara, Lionel Messi, tetapi Juventus juga adalah sebuah kelab yang hebat, besar, penuh sejarah dan memiliki pemain-pemain hebat.
"Pasukan ini (Juventus) juga memiliki pemain-pemain berkualiti yang mampu dipecahkan kepada dua pasukan dan malah; peluang beraksi dengan (Gianluigi) Buffon dan (Christiano) Ronaldo turut menjadikan kelab ini lebih besar," katanya.
Untuk rekod, Dybala telah menjaringkan 13 gol dan tujuh bantuan jaringan (assists) dalam 34 perlawanan musim ini bersama pendahulu Serie A, itu yang dijadualkan berdepan Bologna pada 22 Jun ini.Sementara itu biarpun dikatakan berminat untuk berhijrah ke Barcelona, Dybala berkata dia bakal menyambung kontraknya bersama Juventus.
Bagaimanapun katanya, perkara berkenaan diserahkan sepenuhnya kepada pihak Juventus bagi membuat keputusan berhubung lanjutan kontraknya."Buat masa sekarang, masih tiada ada-apa berita mengenai kontrak saya.
Saya masih ada baki setahun setengah dan saya faham mengenai apa yang berlaku ketika ini (pandemik Covid-19) dan ia pastinya tidak mudah untuk kelab.
Namun, ada pemain yang telah menerima pembaharuan kontrak dan kami akan terus menunggu giliran kami.
"Apa pun saya adalah pemain di kelab ini dan saya gembira berada di sini. Saya disukai orang ramai dan saya sangat menghargainya. Saya juga ada hubungan yang baik dengan presiden kelab dan pastinya kami akan berbual (chat) nanti,' katanya.