LUMUT - Pengusaha hotel dan resort di Pulau Pangkor bersedia menurunkan harga bilik antara 10 ke 30 peratus untuk menarik kembali kehadiran pelancong susulan kebenaran operasi bagi sektor pelancongan domestik dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) yang bermula esok.
Pengerusi Persatuan Pembangunan Hotel dan Resort Pulau Pangkor, Munir Shaari berkata, langkah itu dilaksanakan bagi mengimbangi impak kemerosotan kehadiran pengunjung dan pembatalan tempahan yang dibuat pelancong sebelum ini.
Menurutnya, beberapa hotel dan resort di pulau bebas cukai itu sudah mula menerima tempahan penginapan daripada pelancong sebaik pengumuman dibuat kerajaan pada Ahad lalu.
"Ada yang akan memulakan operasi esok namun keseluruhannya dijangka beroperasi minggu depan dan kita jangkakan tempahan ini meningkat sehingga 50 peratus dalam tempoh sebulan ini.
"Perkembangan ini menjadikan pengusaha hotel di sini mengambil peluang menawarkan pelbagai pakej bermalam dan tawaran diskaun serendah 10 peratus," katanya kepada Sinar Harian hari ini.
Beliau berkata, semua pengusaha hotel dan resort sedang mempersiapkan kemudahan masing-masing bagi memastikan ia mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.
Katanya, dalam fasa sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) lalu, majoriti pengusaha menutup sementara operasi kerana tiada pengunjung.
"Keputusan kerajaan membenarkan aktiviti pelancongan domestik memberi kelegaan kepada pemain industri pelancongan, ini peluang industri perhotelan bangkit dan menjana semula pendapatan dengan sebahagian langkah menyediakan tawaran diskaun menarik kepada pelancong," katanya.
Munir yang juga Pengurus Anjungan Beach Resort, Pulau Pangkor berharap kerajaan negeri dapat meneruskan semula projek-projek pembangunan Pulau Bebas Cukai yang tertangguh akibat PKP sebelum ini untuk merancakkan lagi sektor pelancongan di situ.
Katanya, sebarang bentuk infrastruktur yang akan dibina perlu disegerakan supaya ia dapat dimanfaatkan penduduk dan pelancong yang datang ke pulau itu.