AKSEM Kedah rampas 890,000 rokok putih

Iklan
Abdul Latif (kanan) menunjukkan rokok yang dirampas di AKSEM Anak Bukit di sini hari ini. - Foto Bernama

ALOR SETAR - Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (AKSEM) Kedah merampas 890,000 batang rokok putih jenama ‘Canyon’ yang dianggarkan bernilai RM665,720 termasuk cukai yang dipercayai untuk dibekalkan di pasaran tempatan.

Komander AKSEM Kedah, Abdul Latif Abdul Rahman berkata, hasil risikan selama satu jam di sebuah rumah dua tingkat di Taman Berjasa, dekat sini sepasukan anggota AKSEM telah menemukan kesemua rokok yang disyaki tidak dibayar cukai itu pada jam 11 pagi tadi.

Iklan
Iklan

"Kita mula membuat risikan pada jam 10 pagi sebelum menyerbu rumah berkenaan sejam kemudian dan telah menjumpai 89 peti dengan setiap peti berisi 50 karton rokok.

"Nilai keseluruhan rokok yang dijumpai berjumlah RM71,200 yang melibatkan nilai cukai berjumlah RM594,520,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Iklan

Beliau berkata, sindiket itu dipercayai menggunakan modus operandi dengan menyewa rumah di kawasan perumahan baharu yang masih belum ramai penghuni untuk dijadikan sebagai stor penyimpanan rokok sementara, sebelum diedarkan kepada kedai-kedai berhampiran.

"Kita syak bekalan rokok ini diperoleh dari selatan tanah air dan bukannya dari sempadan negara kerana pintu sempadan ditutup berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan pergerakan penghantaran ini dilakukan semasa musim PKP. Bekalan rokok sudah lama ada, tetapi tidak boleh buat penghantaran kerana PKP.

Iklan

"Tiada tangkapan dibuat semasa serbuan ini dan kes telah diserahkan kepada Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) untuk tindakan lanjut,” katanya.

Abdul Latif berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 yang memperuntukkan denda minimum 10 kali ganda nilai duti kastam atau RM100,000 mengikut mana-mana amaun lebih besar dan tidak melebihi 20 kali ganda nilai duti itu atau RM500,000 mengikut mana-mana amaun lebih besar atau penjara antara enam bulan hingga lima tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan. - Bernama