PEMAIN profesional tempatan bersedia menerima norma baharu dalam saingan bola sepak di negara ini termasuk mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ketat selepas kerajaan memberi lampu hijau untuk menjalani latihan di padang terbuka dalam tempoh terdekat.
Persatuan Pemain Bola Sepak Profesional Malaysia (PFAM) menyifatkan keputusan terbaharu kerajaan merupakan tonik besar buat keseluruhan komuniti sukan bola sepak tanah air terutamanya bagi para pemain profesional.
Iklan
Iklan
"Sudah semestinya, sebagai rakyat Malaysia, kita masih berada dalam ‘kerisauan’ dan ‘ketakutan’ memandangkan kita masih belum memenangi ‘perang wabak’ ini secara mutlak.
"Namun begitu, PFAM percaya usaha keras yang digerakdayakan oleh FAM (Persatuan Bola Sepak Malaysia) dan MFL (Liga Bola Sepak Malaysia) dalam merangka SOP akan senantiasa memastikan kesemua pemegang taruh bola sepak, terutamanya para pemain dan pegawai pasukan, dalam keadaan yang selamat dan terhindar daripada segala ancaman jangkitan,” jelas PFAM dalam satu kenyataan.
[ARTIKEL BERKAITAN] - Bola sepak boleh mula latihan tanpa sentuhan 15 Jun ini
Dalam pada itu, PFAM percaya jika kerajaan membenarkan saingan Liga Malaysia (Liga-M) diteruskan pada September ini ia bakal mengurangkan kerugian komersial yang telah ditanggung pasukan terlibat sejak saingan liga ditangguhkan susulan penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak 18 Mac lalu.