Waspada ancaman nyamuk bandar

Iklan
Demam denggi dilaporkan kali pertama di Malaysia pada tahun 1962.

DI sebalik ancaman Covid-19 yang semakin reda, Malaysia terus bergelut dengan demam denggi sejak kes pertama wabak itu dilaporkan di Pulau Pinang pada tahun 1962.

Kelmarin, Kementerian Kesihatan meramalkan kes denggi meningkat lagi sehingga September ini susulan orang ramai dibenarkan bergerak ke tempat yang sebelum ini dilarang.

Iklan
Iklan

Perintah pergerakan terhad yang dilaksanakan untuk mengekang Covid-19 sejak tiga bulan lalu menyebabkan banyak tempat ditutup dan berisiko menjadi sarang pembiakan nyamuk.

Peningkatan itu turut berpunca daripada faktor cuaca dan sikap manusia yang kurang menjaga kebersihan di persekitaran kediaman khususnya di kawasan bandar.

Iklan

Sebenarnya, pusat bandar telah lama menjadi magnet penyakit berjangkit. Wabak itu sering menyerang bandar-bandar tropika seperti New Delhi, India; Sao Paolo, Brazil; dan Bangkok, Thailand.

Demam denggi kini merupakan endemik di lebih 100 negara rantau Afrika, Amerika, Mediterranean, Asia Tenggara dan Pasifik. Seramai 2.5 bilion manusia iaitu dua perlima penduduk dunia berdepan risiko dijangkiti demam denggi.

Iklan

Di Malaysia, Selangor merekodkan kes denggi tertinggi dengan 23,402 kes sehingga minggu ke-17 pada tahun ini, diikuti Kuala Lumpur (3,243 kes) dan Johor (3,242 kes).

Jumlah kes denggi tertinggi yang pernah dicatatkan di Malaysia adalah pada tahun 2015 dengan 120,835 kes dan 336 kematian.

Demam denggi berpunca daripada jangkitan virus yang merebak melalui gigitan nyamuk Aedes aegypti.

Apa yang membimbangkan, penyakit itu sekarang boleh datang dengan tanda-tanda yang bukan tipikal lagi dan kadang-kadang tidak dapat diduga.

Ini menyebabkan tugas mendiagnosis dan merawat denggi semakin mencabar.

Ada kes, ruam gatal rupa-rupanya denggi. Ada kes, demam dan sakit dada rupa-rupanya denggi. Ada kes, pesakit kencing manis mengadu muntah-muntah tapi tidak demam rupa-rupanya denggi.

Sehingga kini, masih tiada rawatan khas untuk demam denggi kecuali langkah pencegahan.

Ketika Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan yang bermula hari ini, ambillah peluang untuk 'memulihkan' kawasan sekitar rumah agar tidak menjadi habitat nyamuk aedes.

Ketakutan terhadap Covid-19 jangan sampai menyebabkan kita memandang remeh ancaman musuh tradisi ini.