'Tiada alasan untuk tidak berlatih selepas ini'

Iklan
Sathianathan

SEMUA pasukan dan kelab saingan Liga Malaysia (Liga-M) seharusnya bersedia untuk kembali mengadakan sesi latihan berpasukan setelah mendapat lampu hijau kerajaan.

Presiden Persatuan Jurulatih Bola Sepak Malaysia (PJBM), B Sathianathan berkata, kebenaran itu perlu dimanfaatkan setelah pemain pasukan masing-masing tidak menjalani latihan secara intensif setelah liga ditangguhkan sejak 16 Mac lalu berikutan pandemik Covid-19.

Iklan
Iklan

Justeru menurut Sathianathan, kesemua pasukan diharap bersedia khususnya aspek penyediaan kemudahan dan peralatan bagi mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan kerajaan kelak.

"Tidak ada lagi sebarang alasan bagi mana-mana pasukan atau kelab untuk tidak mengadakan sesi latihan berkenaan yang sebelum ini memang tidak dibenarkan langsung.

Iklan

"Tetapi semalam (kelmarin), kerajaan memberikan kebenaran semua atlet termasuk pemain bola sepak Liga-M menjalani latihan yang tidak melibatkan sentuhan mulai 15 Jun ini iaitu di sepanjang tempoh PKPP (Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan).

"Jadi semua pasukan terlibat perlu bersedia dengan fasiliti latihan yang dilengkapi kelengkapan keselamatan seperti hand sanitizer dan sebagainya mengikut SOP,” katanya kepada Sinar Harian.

Iklan

Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican kelmarin memberikan kebenaran kepada semua sukan berpasukan memulakan latihan mulai 15 Jun depan.

Kebenaran itu turut melibatkan skuad bola sepak kebangsaan dan pasukan negeri atau kelab di bawah Liga Bola Sepak Malaysia (MFL).

Tambah Sathiananthan, berdasarkan pemerhatiannya banyak kaedah latihan boleh dilakukan jurulatih ketika sesi latihan berpasukan yang tidak melibatkan sentuhan.

Katanya, beberapa sesi latihan di luar negara terutamanya tanpa sentuhan melibatkan penggunaan bola boleh dilaksanakan di negara ini.

"Ada banyak cara latihan tidak melibatkan sentuhan boleh kita buat. Yang penting, kena ada bola dan jika bola boleh diberikan kepada semua pemain ia lebih elok.

"Di sini terserah kepada jurulatih, bagaimana mengendalikan sesi latihan berkenaan. Ada bermacam-macam cara yang boleh dilakukan, namun paling penting adalah pemain sudah boleh mula menjalani latihan di padang,” katanya.

Sementara itu, Sathianathan berkata, kebenaran diberikan kerajaan sepanjang tempoh PKPP akan melibatkan beberapa fasa tertentu bagi tempoh masa yang tertentu.

Katanya, kebenaran berkenaan juga sebagai satu permulaan sebelum melibatkan fasa lain.

"Ini adalah fasa semua pasukan boleh mula adakan latihan semula dan ikut SOP tertentu dan tidak melibatkan sentuhan.

"Mungkin selepas ini, sentuhan akan dibenarkan dalam latihan dan kita boleh buat latihan seperti perlawanan sparring sesama pemain, perlawanan lima sebelah, tujuh sebelah dan juga perlawanan persahabatan.

"Ini penting sebagai persediaan untuk mengharungi perlawanan sebenar. Tak boleh kalau tanpa latihan seperti perlawanan-perlawanan persahabatan pemain terus bermain dalam pertandingan,” katanya.